LONDON, 24 MAC – Gareth Bale memasang cita-cita untuk memimpin Wales ke Piala Dunia untuk kali pertama dalam 64 tahun selepas mengumumkan dirinya sudah sihat menjelang aksi play-off menentang Austria.
Bale menarik diri pada saat akhir ketika pasukan Real Madrid dibelasah 4-0 oleh Barcelona pada Ahad kerana mendakwa dirinya cedera, namun bersedia diturunkan untuk berdepan Austria di Cardiff pada hari ini.
Kapten Wales, Bale telah memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah semasa bersama Real dan dua La Liga dan kejohanan tempatan, Piala Super serta Piala Dunia Kelab.
Namun penyerang berusia 32 tahun itu tidak pernah mengalami suasana unik Piala Dunia, sementara negaranya belum melayakkan diri untuk kejohanan itu sejak 1958.
Bale menyimpan impian untuk membawa Wales ke Piala Dunia dan malam ini adalah perlawanan penentuan paling penting dalam karier Bale.
“Sudah pasti ia adalah salah satu perlawanan terpenting buat saya. Layak ke Piala Dunia adalah sesuatu yang saya mahu capai untuk peminat dan negara.
“Saya masih ingat menonton kejohanan itu, Ronaldo Brazil, bola sepak Samba, ia antara memori awal saya. Memang satu impian menjadi kenyataan untuk beraksi di Piala Dunia,” katanya.
“Ia merupakan impian menjadi kenyataan untuk semua orang beraksi dalam Piala Dunia. Untuk melakukannya untuk Wales akan menjadi satu pencapaian mengagumkan. Sudah lama saya memendam hasrat ini.”
Wales atau Austria akan beraksi menentang pemenang separuh akhir Kumpulan A di antara Scotland dan Ukraine untuk menentukan satu tempat di Piala Dunia di Qatar pada akhir tahun ini.– AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/03/P22-2-Bale_25032022.jpg)