Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banduan terlepas hukuman tali gantung selepas 46 tahun

    SHIZUOKA, 26 SEPT – Banduan hukuman mati paling lama di dunia telah dibebaskan hari ini, lebih 50 tahun selepas sabitan pembunuhannya, apabila mahkamah Jepun memutuskan bahawa bukti telah dipalsukan.

    Kesihatan yang uzur menghalang bekas peninju berusia 88 tahun, Iwao Hakamada, daripada hadir di mahkamah untuk mengetahui keputusan perbicaraan semulanya, yang diberikan sedekad lalu selepas kempen yang panjang oleh penyokong.

    Namun, kakaknya yang berusia 91 tahun, Hideko, yang sering bercakap bagi pihaknya, tunduk hormat kepada hakim yang mengisytiharkan Hakamada tidak bersalah.

    “Semua orang kita menang pembebasan ini, semuanya berkat sokongan awda,” katanya di luar Mahkamah Daerah Shizuoka selepas itu, hampir menangis dengan suaranya yang tersekat-sekat.

    Hakamada menghabiskan 46 tahun menunggu hukuman mati selepas disabitkan pada 1968 kerana merompak dan membunuh bosnya, isteri lelaki itu dan dua anak remaja mereka.

    “Penyiasat mengusik bahan bukti dengan meletakkan darah pada pakaian” yang kemudiannya disembunyikan dalam tangki miso, atau pes kacang soya yang ditapai, menurut keputusan hari ini, yang dilihat oleh AFP.

    Ia mengecam penggunaan ‘soal siasat yang tidak berperikemanusiaan yang bertujuan untuk memaksa kenyataan dengan mengenakan kesakitan mental dan fizikal’.

    “Rekod pihak pendakwaan diperoleh dengan melanggar hak defendan untuk berdiam diri, dalam keadaan yang berkemungkinan besar menimbulkan pengakuan palsu,” kata keputusan itu. – AFP

    Hideko dan peguam bergambar dengan sepanduk berwarna putih bertulis ‘Iwao Hakamada tidak bersalah’ ketika dia meninggalkan Mahkamah Daerah Shizuoka kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda