Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangunkan bilik persalinan untuk pelanggan dalam talian

    PARIS, 11 JAN – Pejabat pos Perancis menjalankan eksperimen dengan membangunkan bilik persalinan pakaian di beberapa buah cawangannya untuk memenuhi keperluan pembeli dalam talian yang ingin memulangkan pembelian yang tidak sesuai dengan segera.

    Di pejabat pos Paris yang menyertai eksperimen tersebut, sebuah bilik persalinan pakaian dengan bentuk peti surat berwarna kuning kenari telah dipasang.

    Di dalamnya terdapat sebuah kerusi, cermin dan rak untuk meletakkan bungkusan yang hendak dipulangkan.

    La Poste Perancis berkata idea itu dibuat selepas melihat ramai pelanggan mengambil bungkusan mereka dan memulangkannya tidak lama kemudian dengan alasan barangan yang mereka beli tidak sesuai.

    Perancis, sama seperti kebanyakan negara, menyaksikan lonjakan dalam perdagangan dalam talian, dengan pelanggan membeli barangan termasuk pakaian dan kasut yang sering dipulangkan.

    Seorang pelanggan berdiri berhampiran pintu masuk bilik persalinan pakaian di pejabat pos La Poste di Paris. – AFP

    La Poste berkata eksperimen itu bukan sekadar bilik persalinan pakaian.

    “Idea itu adalah untuk memudahkan pelanggan,” kata La Poste, yang membenarkan pelanggan untuk menerima barangan, memeriksanya di tempat itu, sekiranya tidak sesuai atau menukar fikiran, barangan terus dihantar semula.

    “Ia membantu orang ramai daripada membuat perjalanan dan menjimatkan masa. Ia praktikal,” kata seorang pelanggan, Michele Limouzy.

    La Poste juga berharap eksperimen itu akan meningkatkan kunjungan.

    Sama seperti pejabat pos kebangsaan lain, La Poste cuba mengimbangi penurunan trafik surat selama bertahun-tahun dengan peningkatan perniagaan bungkusan.

    Walau bagaimanapun, eksperimen itu kurang disenangi oleh pemilik kedai.

    Inisiatif itu ‘menyebabkan rasa kurang senang di kalangan peruncit kecil dan memberikan risiko serius kepada ekonomi tempatan sekiranya ia dilaksanakan di seluruh negara,” kata Persatuan Peruncit Perancis, yang ahlinya mengandungi 450,000 buah kedai kecil. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda