Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir: Kualiti air terjejas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Jabatan Kerja Raya memaklumkan bahawa akibat kejadian banjir disebabkan hujan lebat yang kerap, baru-baru ini, kualiti sumber air mentah di Sungai Tutong telah terjejas dan menyebabkan tugas merawat air menjadi lebih kompleks dan sukar.

    Walau bagaimanapun, tambah JKR dalam kenyataan yang dikeluarkannya, hari ini, adalah perlu bagi memastikan kualiti air mencapai Piawaian WHO.

    Di samping isu kualiti, isu kuantiti juga dihadapi oleh jabatan berkenaan disebabkan paip utama di Loji Rawatan Air Bukit Barun telah pecah dan mengakibatkan kuantiti air bersih yang dibekalkan ke Daerah Brunei dan Muara terutama ke kawasan Lambak dan Madang terjejas. Walau bagaimanapun, paip utama yang pecah telah siap diperbaiki pada 23 Jun 2018, jam 3:30 pagi.

    JKR dalam kenyataannya juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa usaha untuk menangani kedua-dua isu iaitu kualiti dan kuantiti bekalan air sedang dilaksanakan.

    Setelah kedua-dua isu berkenaan ditangani, langkah seterusnya adalah mengimbangi paras air dalam takungan utama bagi memastikan bekalan air kepada orang ramai adalah stabil.

    Kenyataan turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa jabatan adalah sangat komited dalam memperbaiki bekalan air dan atas sebab ini pelbagai inisiatif secara berterusan telah diambil. Jabatan juga melaksanakan usaha-usaha yang perlu bagi memastikan setiap aduan orang ramai akan disiasat dan diambil tindakan.

    Pihak jabatan ingin merakamkan kekesalan atas kejadian malang ini berlaku bertepatan dengan musim perayaan Aidilfitri. Jabatan akan terus memaklumkan perkembangan pembekalan air kepada orang ramai dan ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kesabaran orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda