KUALA LUMPUR, 29 JAN – Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 1,026 orang pagi ini susulan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan selatan negeri itu sejak malam tadi, sementara Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan 224 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak 14 PPS telah dibuka melibatkan daerah Kuching, Serian, Bintulu, Miri, Siburan, Tatau, Bau dan Simunjan. Daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 374 orang di enam PPS, diikuti Siburan dengan 135 mangsa di dua PPS.
Masing-masing satu PPS turut dibuka di Simunjan (73 mangsa), Tatau (34 mangsa), Bintulu (109 mangsa), Kuching (145 mangsa), Miri (139 mangsa) dan Bau (17 mangsa).
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Marudu melaporkan 127 mangsa dipindahkan ke dua PPS di daerah itu, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Beaufort memaklumkan 97 mangsa berlindung di satu PPS di Beaufort. Paras air di Sungai Bongon dan Sungai Bandau di Kota Marudu telah melebihi paras waspada masing-masing 7.14 meter dan 4.93 meter setakat 11 malam tadi.
Dalam kejadian berasingan, tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, yang mengorbankan lima nyawa berakhir dengan penemuan mayat terakhir seorang wanita warga emas, Fatimah Dawi, 71, pada 6:06 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian pada 6:26 petang sebelum dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sebanyak 12 individu terlibat dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi tadi, melibatkan dua rumah yang terletak bersebelahan di atas satu lot tanah yang sama.
Pasukan penyelamat menemukan mayat pertama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 6:17 pagi, diikuti seorang wanita pada 10:53 pagi. Mayat dua kanak-kanak perempuan pula ditemukan masing-masing pada 11:38 pagi dan 10:48 pagi.
Tujuh individu berusia lingkungan 14 hingga 60 tahun terdiri daripada dua lelaki dan selebihnya wanita berjaya menyelamatkan diri dalam insiden itu.
Operasi menyelamat dalam keadaan hujan lebat itu membabitkan 19 pegawai dan 85 anggota daripada pelbagai agensi dengan bantuan sebuah jengkaut. Dengan penemuan mayat terakhir, operasi mencari dan menyelamat kini ditamatkan sepenuhnya. – Bernama