COLOMBO, 28 NOV – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh di bahagian timur dan tengah Sri Lanka selepas hujan lebat melanda negara itu sepanjang tiga hari lepas, kata seorang pegawai tinggi bencana hari ini.
Empat daripada kematian itu disebabkan sebuah traktor yang membawa sekumpulan pelajar terbalik dan mangsa dihanyutkan arus banjir di Eravur, kira-kira 310 kilometer di timur ibu negara, kata Pengarah Pusat Pengurusan Bencana, Anoja Seneviratne, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Lain-lain kematian melibatkan kejadian berasingan akibat tanah runtuh selain kejadian mangsa yang dihanyutkan oleh banjir.
Fenomena tekanan rendah di bahagian barat daya Teluk Bengal menyebabkan hujan lebat, sementara keadaan taufan sedang berkembang di luar pantai timur laut negara itu. – Bernama