Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 30 DIS – Seramai 28 orang pelajar dari Daerah Tutong telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan sekolah seperti alat-alat tulis serta peralatan sekolah lain, dan pakaian seragam sekolah semasa berlangsungnya Program Bantuan Amal Kembali ke Sekolah bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Program tersebut dianjurkan oleh KHEDN melalui Jabatan-jabatan Daerah dan diadakan secara serentak di tiga buah daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Temburong.
Program berkenaan diadakan dengan tujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan persekolahan menjelang tahun 2025 nanti.
Sumbangan yang disampaikan adalah hasil kutipan derma daripada warga KHEDN; Tabung Kebajikan Anak-anak Yatim Daerah Brunei dan Muara; Tabung Amal Daerah Belait; Tabung Kebajikan Anak-anak Yatim Daerah Tutong; Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong dan Tabung Bantuan Daerah Temburong.
Sumbangan derma itu diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan bagi persediaan sekolah anak-anak berkenaan, sekali gus memastikan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dapat memulakan sesi persekolahan tahun 2025 dengan suntikan semangat baharu dan persediaan peralatan sekolah yang lebih sempurna.