Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa Along Spoon sudah maafkan pembunuh

    Bekas anggota polis Malaysia, Mohd Ya’cob Demyati yang disabitkan dengan kesalahan membunuh penyanyi Allahyarham Along Spoon sudah dimaafkan oleh bapa penyanyi terkenal era 90-an itu 25 tahun lalu.

    Memetik laporan mStar, Shafiee Mohd. Yusof atau mesra disapa Pak Engku berkata, beliau sudah lama memaafkan pembunuh anaknya yang selesai menjalani hukuman penjara pada 16 November tahun lalu.

    “Dari dulu lagi saya sudah maafkan si pelaku. Apa yang terjadi adalah ketentuan Allah.

    “Mungkin di peringkat awal saya susah nak terima, itu mungkin satu kesilapan yang saya buat.

    “Pada akhirnya saya hanya berdoa hanya Allah yang Maha Berkuasa dan saya terima segala ketentuan-Nya,” katanya kepada mStar.

    Pak Engku berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin di Menara KPJ, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Dalam pada itu, Pak Engku memberitahu beliau tidak berhasrat bertemu dengan Ya’cob kerana merasakan tiada keperluan beliau berbuat demikian.

    Bagaimanapun katanya, beliau terima dengan hati terbuka sekiranya lelaki itu datang untuk meminta maaf kepadanya.

    “Rasanya tiada keperluan untuk saya berjumpa dengan si pelaku. Hati saya sudah terluka, tapi tak mengapalah, buat sahaja hal masing-masing.

    “Tapi kalau si pelaku itu datang nak minta maaf, saya terima tak ada masalah. Tapi untuk saya pergi berjumpanya rasanya tidak perlu,” ujarnya.

    Walaupun Along atau Sabi’ul Malik Shafie sudah tiada, Pak Engku tidak pernah lupa untuk sentiasa menitipkan doa buat anak sulungnya itu.

    Kata Pak Engku, Along seorang anak lelaki yang baik dan sangat menghormati kedua ibu bapanya.

    “Daripada tahun 2000 sehingalah ke hari ini, tak pernah satu hari saya tertinggal untuk mendoakannya. Arwah merupakan seorang anak yang sangat manja. Orangnya lemah-lembut, dia memang rapat dengan ibunya.

    “Kalau dia nampak ibunya terguris hati, waktu itu juga dia bersujud di kaki ibu,” katanya.

    Pada 16 November tahun lalu, Ya’cob dibebaskan dari Penjara Kajang selepas terlepas hukuman pemenjaraan sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan meminda kepada penjara 33 tahun. – Agensi

    Ya’acob dijatuhkan hukuman penjara selama 33 tahun. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda