Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa kurung anak sakit mental dihukum

    TOKYO, 27 Jun – Seorang bapa warganegara Jepun yang mengurung anak lelakinya yang sakit mental dalam kurungan kayu selama beberapa dekad menerima hukuman penjara yang ditangguhkan, menurut jurucakap mahkamah hari ini.

    Ketika mahkamah mendapati Yoshitane Yamasaki, 73, bersalah, hakim juga mengkritik pihak berkuasa kerana gagal membantunya menjaga anaknya, yang telah melakukan kekerasan terhadap ibu bapanya.

    Yamasaki, yang berasal dari bandar barat Sanda, didapati bersalah mengurung anaknya yang kini berusia 42 tahun. Anak lelakinya kini di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan.

    Yamasaki mengaku telah mengurung anaknya selama lebih dari dua dekad tetapi pendakwa hanya menjatuhkan hukuman bagi kesalahan sejak lima tahun lalu kerana batasan undang-undang, kata media tempatan.

    Hakim Kimikazu Murakawa menjatuhkan hukuman penjara selama setahun dan enam bulan, ditangguhkan selama tiga tahun, menurut seorang jurubicara di Mahkamah Daerah Kobe.

    Peguam pertahanan telah berhujah untuk kelonggaran itu kerana Yamasaki telah meminta bantuan tetapi tidak ditolong.

    Anaknya dilaporkan terpaksa tinggal di dalam kurungan kayu berukuran satu meter tinggi dan 1.8 meter lebar yang dibina di sebuah pondok pasang siap di sebelah rumah utama mereka.

    Yamasaki dan isterinya yang meninggal dunia pada Januari lalu, membenarkan anak mereka tinggal di bangunan utama bersama mereka selama kira-kira 12 jam setiap hari, menurut akhbar Kobe Shimbun. Pasangan itu dilaporkan mengurung anak mereka selepas beberapa kali bertindak ganas, termasuk satu insiden di mana dia menggigit ibunya.

    Kes itu diketahui umum pada bulan Januari lalu, ketika Yamasaki berkonsultasi dengan pejabat-pejabat setempat tentang penjagaan isterinya yang sakit dan sekali lagi menimbulkan isu keadaan anaknya.

    Yamasaki berkata beliau menunjukkan kurungan itu kepada pegawai tempatan sekitar 1993 untuk mendapatkan nasihat, tetapi tidak menerima maklum balas, kata agensi berita Kyodo.

    Hakim yang mengutuk Yamasaki juga berkata pihak berkuasa tempatan gagal memberi sokongan kepada mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda