LANGKAWI, 11 OKT – Walaupun perlu ber-saing dengan tiga anak yang berusia 30an, Ayob Yahaya, 62, tekad untuk mencatatkan masa terbaik pada Kejohanan Ironman 70.3 di Langkawi, esok.
Ayob dari Shah Alam dan bekerja sebagai jurutera minyak berkata dia bersama tiga anaknya, Arif Azraei, 30; Amira Alysa, 33, dan Arif Ashraf, 35, perlu menamatkan kejohanan itu yang melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90 km dan larian 21.1 km.
“Saya mula menyertai Ironman ini pada tahun 2022 iaitu saya sertai Ironman 70.3 dan ketika itu anak saya, Amira Alysa yang datang beri sokongan…pada 2023 pula, saya buat Ironman Malaysia dan pada masa itu ketiga-tiga anak saya juga sertai Ironman 70.3 tetapi mereka buat secara berkumpulan.
“Tahun ini, saya cabar mereka untuk sertai Ironman 70.3 secara individu dan saya belikan basikal untuk mereka…jadi, kita akan lihat esok macam mana, mungkin mereka lebih laju dari saya dalam disiplin berenang dan larian tetapi berbasikal mungkin saya lebih pantas,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.
Beliau yang berjaya menamatkan Ironman Malaysia tahun lepas dengan catatan masa 16 jam setengah berkata dia juga mula berjinak dengan dunia triathlon pada 2021 selepas berjaya mengatasi fobia berenang di laut terbuka.
“Kalau ikut, saya mula pada usia yang agak lewat kerana saya takut untuk berenang di laut terbuka tetapi selepas beberapa cubaan, saya berjaya atasi perasaan takut itu…begitu juga anak-anak, mereka berjaya menguasai disiplin berbasikal dalam tempoh setahun sahaja,” katanya. – Bernama