Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca benam Napoli

    BARCELONA, 13 MAC – Barcelona terselamat daripada saat getir dalam separuh masa kedua menewaskan Napoli 3-1 dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 4-2 kelmarin.

    Ia adalah kali pertama juara empat kali Barcelona mara ke peringkat suku akhir sejak 2020, dan mereka berjaya walaupun tanpa kehadiran trio tengah, Pedri, Gavi dan Frenkie de Jong akibat kecederaan.

    Bintang remaja Lamine Yamal dan Pau Cubarsi telah beraksi cemerlang menentang Napoli pada malam yang telah memberikan sedikit kelegaan kepada Barcelona di tengah-tengah musim yang suram.

    Peluang terbaik jatuh kepada Lopez dan pemain berusia 20 tahun itu membuka jaringan dengan percubaan ketiganya selepas 15 minit permainan bermula.

    Dua minit kemudian, Catalan menggandakan kedudukan dengan Yamal memulakan serangan balas dan membuat hantaran kepada Rapinha tetapi rembatannya terkena tiang sebelum Cancelo terus membuat jaringan.

    Aksi Pau Cubarsi (kanan) dan Victor Osimhen dalam perlawanan bola sepak antara FC Barcelona dan SSC Napoli dalam pusingan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA pada 12 Mac lalu. – AFP

    Napoli berusaha untuk kembali bangkit apabila Matteo Politano menyerang di sebelah kanan, dengan Ronald Araujo bermain di sebelahnya.

    Pemain sayap Itali itu membuat hantaran lintang kepada Rrahmani dan berjaya menjaringkan gol untuk menarik Napoli kembali ke dalam perlawanan itu.

    Napoli hampir menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian tetapi penjaga gol Barcelona Marc-Andre ter Stegen menghalang tandukan Giovanni Di Lorenzo.

    Itali memulakan separuh masa kedua dengan penuh keyakinan memaksa Barcelona kembali ke kawasan sendiri untuk bertahan.

    Xavi mengarahkan Sergi Roberto dan Oriol Romeu masuk untuk menggantikan Lopez dan Andreas Christensen untuk menguatkan bahagian tengah dan memberi semangat baharu kepada pasukannya.

    Cubaan dari Raphinha dan Lewandowski dapat dihalang oleh Alex Meret sebelum Yamal merembat dari jarak dekat, tetapi beliau telah ofsaid.

    Pemain sayap Denmark, Jesper Lindstrom cuba menanduk namun tersasar, sebelum Lewandowski menamatkan perlawanan dengan jaringan kemenangan selepas dibantu gabungan Ilkay Gundogan dan Sergi Roberto.

    Aksi hambar pada separuh masa kedua menunjukkan prestasi Barcelona jauh daripada kejayaan mereka yang dahulu. Namun, Yamal, Raphinha dan Cancelo mempunyai kualiti untuk mencabar bakal lawan mereka di suku akhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda