Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barcelona tersingkir saingan UCL

    PARIS, 9 DIS – Barcelona tersingkir dari Liga Juara-Juara (UCL) pada peringkat kumpulan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun dengan kekalahan 0-3 ke atas Bayern Munich semalam, manakala Benfica, juara Perancis, Lille dan Red Bull Salzburg pula layak dalam kelompok 16 terakhir.

    Sementara itu, Chelsea terlepas kedudukan pertama dalam kumpulan kepada Juventus apabila melepaskan gol penyamaan lewat di Zenit Saint Petersburg, dan salji tebal di utara Itali memaksa perlawanan antara Atalanta menentang Villarreal ditangguhkan.

    Barca kendalian Xavi Hernandez ternyata bukan tandingan Bayern yang mara dengan bergaya apabila mencatat enam kemenangan daripada enam perlawanan peringkat kumpulan.

    Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi tandukan Thomas Mueller pada minit ke-34 yang melintasi garisan sebelum cuba dikeluarkan Ronald Araujo.

    Aksi berlangsung tanpa penonton di Allianz Arena berikutan sekatan COVID-19 di Bavaria, tidak menjejaskan aksi Bayern apabila Leroy Sane menambah jaringan menerusi rembatan menarik sebelum rehat separuh masa diikuti jaringan Jamal Musiala menjadikan kedudukan 3-0 selepas satu jam permainan.

    Barcelona tersingkir selepas Benfica menewaskan Dynamo Kiev 2-0 di Lisbon, gol babak pertama oleh Roman Yaremchuk dan Gilberto memastikan mereka merampas kedudukan kedua kumpulan dan mara dalam pusingan 16 terakhir.

    “Kami tidak bersaing. Ini adalah Liga Juara-Juara tetapi ia adalah realiti kami dan kami harus menghadapinya,” kata Xavi.

    “Kami memulakan era baharu daripada kosong. Objektif kami adalah Liga Juara-Juara, bukan Liga Europa.”

    Barcelona yang hanya menjaringkan dua gol pada peringkat kumpulan tampil dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara pada setiap edisi sejak 17 musim lalu, kali terakhir tersingkir pada 2003-2004 apabila mereka beraksi dalam Piala UEFA selepas berada di tempat keenam dalam La Liga pada tahun sebelumnya. – AFP

    Pemain Bayern Munich, Thomas Mueller menanduk bola untuk menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa perlawanan di antara Bayern Munich dan Barcelona di Munich, Jerman pada 8 Disember 2021. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda