BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Jabatan Muzium-muzium akan memperkenalkan bayaran kemasukan ke tiga buah muzium iaitu Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim Brunei Darussalam berkuat kuasa 12 Disember ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan tersebut di sini, tiket bayaran kemasukan walau bagaimanapun hanya dikenakan kepada pelawat warga asing sahaja dan kemasukan bagi
warganegara Brunei Darussalam adalah masih percuma.
Kadar harga tiket kemasukan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja ialah $5 bagi orang dewasa dan kanak-kanak 7-11 tahun adalah $2; Muzium Teknologi Melayu bagi dewasa $3 dan kanak-kanak 7-11 tahun $1 manakala Muzium Maritim Brunei Darussalam pula ialah $3 bagi dewasa dan $1 bagi kanak-kanak 7-11 tahun.
Bayaran kemasukan akan dikecualikan bagi lawatan-lawatan rasmi daripada ketua-ketua negara, delegasi pegawai kerajaan asing, penuntut asing yang menuntut di negara ini dan pekerja asing yang menetap di negara ini (pemegang kad pintar warna hijau).
Pelajar dan pekerja asing bagaimanapun perlu menunjukkan bukti identiti kepada staf bertugas di kaunter muzium sebelum dikecualikan daripada bayaran masuk.
Para pengunjung asing yang ingin membuat lawatan secara berkumpulan dinasihatkan untuk membeli tiket sebelum tarikh lawatan ke muzium untuk memudahkan pergerakan dan keselesaan mereka.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/P1-c-paperweb_12122022.jpg)