JERMAN, 4 DIS – Bayern Munich tersingkir daripada Piala Jerman selepas tewas kepada juara bertahan, Bayer Leverkusen dengan keputusan 1-0 menerusi gol pada separuh masa kedua oleh Nathan Tella kelmarin. Perlawanan itu juga menyaksikan Manuel Neuer menerima kad merah pertama dalam kariernya selepas 866 perlawanan.
Penjaga gol berusia 38 tahun itu dilayangkan kad merah langsung selepas 18 minit perlawanan apabila dia keluar dari kawasan penalti untuk menjatuhkan Jeremie Frimpong yang sedang mara.
Kad merah Neuer memberi peluang kepada penjaga gol Israel, Daniel Peretz, untuk membuat penampilan pertamanya bersama Bayern Munich, 18 bulan selepas menyertai kelab tersebut.
Bayern, yang sudah kehilangan Harry Kane akibat kecederaan, berusaha gigih walaupun bermain dengan kekurangan seorang pemain dan tetap menguasai bola.
Namun, pasukan pelawat akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-69 apabila Nathan Tella menyempurnakan hantaran silang Alex Grimaldo dengan tandukan.
Tella baharu sahaja berada di padang selama lapan minit selepas menggantikan penyerang Patrik Schick, yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua tetapi mengalami kecederaan.
Pemain sayap Bayern, Michael Olise, hampir menyamakan kedudukan dengan sepakan yang tersasar beberapa inci pada minit keempat masa kecederaan. Namun, Leverkusen berjaya bertahan untuk memberikan kekalahan domestik pertama kepada Vincent Kompany sejak beliau menjadi jurulatih Bayern.
“Kami terlalu tergesa-gesa dan cuba menyerang dengan terlalu cepat,” kata kapten Leverkusen, Jonathan Tah kepada ARD. “Pada waktu rehat, kami berbincang untuk bermain dengan lebih sabar dan itulah yang kami lakukan.
“Saya tidak tahu Nathan boleh begitu hebat dengan tandukannya,” tambahnya. – AFP