Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BCF 2024 rai pencipta kandungan tempatan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sebagai usaha untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam pembuatan kandungan, pencipta-pencipta kandungan tempatan diraikan serta menerima anugerah pada Malam Anugerah Festival Kandungan Brunei (BCF) 2024 yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi AITI, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Pihak Berkuasa AITI, pegawai-pegawai kanan, wakil-wakil dari industri penyiaran tempatan serta institusi pengajian tinggi.

    Anugerah BCF merupakan sebuah platform pertandingan untuk mengiktiraf kandungan-kandungan tempatan sebagai usaha untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam pembuatan kandungan.

    Ia juga bertujuan menggalakkan perkembangan dan pembuatan kandungan yang berkualiti tinggi serta berpotensi komersial yang boleh diedarkan dan disiarkan di platform televisyen atau perkhidmatan Over-the-Top (OTT).

    Pertandingan BCF 2024 telah dibukakan kepada orang ramai yang berminat termasuk syarikat pengeluaran berdaftar dan pencipta kandungan tempatan dari 1 April sehingga 14 Mei dengan 104 penyertaan telah diterima, dan hanya 71 penyertaan yang memenuhi kelayakan dan kriteria pertandingan telah terpilih.

    Pemenang-pemenang BCF 2024 pada majlis anugerah adalah Anugerah Iklan Terbaik untuk iklan Big Mac yang dimenangi oleh Nadia Yusof dari Nadzri Presents Enterprise; Anugerah Komedi Terbaik, Budin oleh Aqil Faiz dari Anak Melayu Tempatan Production; Anugerah Dokumentari Terbaik, McDonald’s 30th Anniversary: Story of Our People oleh Nur Bazilah @ Aida binti Mohamed Abdulla dari Makan Ceria Sdn Bhd; Anugerah Filem Terbitan Terbaik, Waiters oleh Adam Groves dari Visual Dimensions production; Anugerah Seram Terbaik, Kufur Episod 3 oleh Aqil Faiz dari Anak Melayu Tempatan Productions; Anugerah Filem Pendek Terbaik, Chinese New Year oleh Aaqiil Ahmad dari Filterworks; Anugerah Pengumuman Perkhidmatan Awam Terbaik, Beware of the VAPE TRAP oleh Muhammad Adam Chong dari Matters of Choice; Anugerah Video Muzik Terbaik, Mengapa Harus Begini-Aziz Harun oleh Abdul Rahman Shahrunezam dari Mancientry Original Film; Anugerah Fiksyen Terbaik di bawah Institut Pengajian Tinggi, Gelombang Impian oleh Hajah Maraya Rabiatu Tadawiah@Rina @Mu’izzah Rabi’atul Adawiyah dari Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa dan Anugerah Animasi Terbaik di bawah Institut Pengajian Tinggi adalah Hearing the Sign Language oleh Naderah Nabelah @ Derah binti Haji Mohd Faderin Lee dari Universiti Teknologi Brunei.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyampaikan anugerah kepada salah satu kumpulan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Sementara itu, pemenang-pemenang Anugerah Juri iaitu Persembahan Lelaki Terbaik dirangkul Afiq Julaihi bagi Waiters manakala Persembahan Wanita Terbaik dimenangi Syahmi Batrisya bagi Demi Gadis dan Sinematografi Terbaik ialah iklan Big Mac oleh Nadia Yusof dari Nadzri Presents Enterprise.

    Kesemua penyertaan yang dipertandingkan telah dihakimi oleh panel juri yang terdiri daripada pakar-pakar industri tempatan dan luar negara, tenaga pengajar institut pendidikan tinggi dan wakil daripada agensi kerajaan.

    Penyertaan dinilai menurut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan, termasuk dari segi teknikal, kreativiti dan inovasi.

    Para pemenang bagi kategori utama telah menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai $2,000, manakala pemenang Anugerah Juri pula menerima trofi, sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak $500.

    Lebih daripada 60 kandungan penyertaan telah ditayangkan di acara BCF Screening and Exhibition yang diadakan di The Mall Atrium, Gadong pada 2 hingga 4 Ogos lalu.

    Pihak AITI berharap melalui platform BCF, industri kandungan akan terus berkembang maju dengan penggunaan teknologi terkini, idea-idea baharu yang memberikan impak positif serta dapat berkerjasama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan yang mampu memenuhi piawaian tertinggi antarabangsa serta menepati cita rasa pengguna di peringkat serantau dan global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda