Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas menteri Singapura disabitkan lima pertuduhan

    SINGAPURA, 24 SEPT – Seorang bekas menteri Singapura hari ini telah disabitkan kesalahan atas tuduhan menghalang keadilan dan menerima hadiah haram, kata pendakwa raya, dalam perbicaraan rasuah politik pertama di negara kota itu selama hampir 50 tahun.

    Bekas menteri pengangkutan, S Iswaran, yang terkenal kerana membantu membawa Formula Satu ke hab kewangan itu, pada awal tahun ini telah dikenakan 35 tuduhan yang kebanyakannya berkaitan rasuah di negara yang sering disebut sebagai salah satu yang paling kurang rasuah di dunia.

    Namun, pihak pendakwa raya meneruskan dengan lima tuduhan yang lebih ringan, termasuk beberapa tuduhan yang berkaitan dengan seorang taikun hartanah jutawan.

    “S Iswaran mengaku bersalah dan disabitkan atas empat tuduhan menerima hadiah daripada dua ahli perniagaan tempatan. Dia juga mengaku bersalah dan disabitkan dengan satu tuduhan menghalang keadilan,” kata pejabat peguam negara dalam satu kenyataan.

    Pendakwa raya memohon hukuman penjara enam hingga tujuh bulan bagi kesemua tuduhan itu, manakala pihak pembelaan berharap hukuman tersebut tidak lebih daripada lapan minggu, lapor The Straits Times.

    Tarikh hukuman itu belum diumumkan secara rasmi oleh pejabat peguam negara, tetapi media tempatan berkata ia ditetapkan pada 3 Oktober.

    Selepas sesi mahkamah berakhir, Iswaran yang berusia 62 tahun berkata dia tidak dibenarkan untuk mengulas mengenai perbicaraan berkenaan.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dan mari kita lihat bagaimana keputusannya,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Agung. – AFP

    S Iswaran tiba di Mahkamah Agung di Singapura, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda