Saturday, September 21, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas penyerang Arsenal didakwa seludup kanabis

    LONDON, 20 SEPT – Pemain bola sepak Inggeris, Jay Emmanuel-Thomas, didakwa atas cubaan menyeludup kanabis bernilai kira-kira £600,000 (AS$800,000) melalui lapangan terbang di Britain, kata polis UK, kelmarin.

    Penyerang berusia 33 tahun itu, yang bermain untuk kelab divisyen kedua Scotland, Greenock Morton, ditahan oleh pegawai Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) di Gourock, dekat Glasgow, pada Rabu.

    Emmanuel-Thomas, yang pernah mewakili skuad remaja England dan beraksi untuk Arsenal, Ipswich dan Aberdeen, kini ditahan reman sebelum dihadapkan di mahkamah kelmarin.

    NCA memaklumkan bahawa dadah tersebut dirampas di Lapangan Terbang Stansted, tenggara England, awal bulan ini, selepas pegawai Imigresen mengesan sekitar 60 kilogram ganja dalam dua beg pakaian yang tiba melalui penerbangan dari Bangkok.

    Emmanuel-Thomas, yang lahir di London, hadir kelmarin di hadapan majistret di bandar Carlisle, utara England, atas tuduhan mengimport dadah Kelas B.

    Pegawai penyiasat kanan NCA, David Phillips berkata, “NCA terus bekerjasama dengan pihak seperti Imigresen untuk menyasarkan mereka yang terlibat dalam penyeludupan dadah termasuk pembawa dan penganjur.”

    NCA turut mengeluarkan amaran kepada pelancong yang tiba dari Thailand, Kanada dan Amerika Syarikat bahawa mereka berdepan hukuman penjara jika didapati menyeludup ganja ke dalam negara, susulan peningkatan besar dalam tangkapan.

    Menurut NCA, jumlah ganja yang dirampas tahun ini adalah lebih tiga kali ganda daripada 2023.

    Mereka turut menegaskan pembawa dadah sering dimaklumkan oleh pihak atasan bahawa mereka hanya dikenakan denda jika ditangkap, walhal hukuman maksimum untuk penyeludupan ganja ke UK ialah penjara 14 tahun. – AFP

    Gambar fail Jay Emmanuel-Thomas (kiri) beraksi semasa perlawanan bola sepak antara Bristol City dan West Ham United di stadium Ashton Gate di Bristol, barat daya England. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda