Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas PM Pakistan, isteri dipenjara dalam kes rasuah

    ISLAMABAD, 17 JAN – Mahkamah Pakistan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas bekas Perdana Menteri, Imran Khan dan tujuh tahun ke atas isterinya selepas mendapati mereka bersalah dalam kes rasuah, menurut pegawai dan peguamnya.

    Keputusan itu memberikan satu lagi tamparan hebat kepada Khan, yang telah dipenjarakan sejak 2023.

    Pasangan itu didakwa menerima hadiah berupa tanah daripada seorang taikun hartanah, Malik Riaz, sebagai pertukaran kepada wang haram ketika Khan masih berkuasa.

    Pendakwa raya mendakwa wang haram berjumlah £190 juta (AS$240 juta) yang dikembalikan kepada Pakistan oleh pihak berkuasa Britain pada 2022 untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara, digunakan oleh Malik Riaz untuk membayar denda dalam kes lain.

    Khan menafikan sebarang salah laku dan sejak penahanannya pada 2023, beliau bertegas bahawa semua tuduhan terhadapnya merupakan konspirasi oleh pesaing politik untuk menghalangnya kembali berkuasa.

    Isterinya, yang dikenali sebagai Bibi, ditahan oleh pegawai penjara selepas pengumuman keputusan itu.

    Sebelum ini, beliau pernah dipenjara dalam kes rasuah lain tetapi dibebaskan dengan ikat jamin pada Oktober.

    Baru-baru ini, beliau memimpin perhimpunan bagi menuntut pembebasan suaminya.
    Peguam bela, Faisal Chaudhry berkata keputusan itu akan dicabar di mahkamah lebih tinggi. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda