HONG KONG, 27 FEB – Bekas suami dan dua bekas mentua model Hong Kong didakwa hari ini atas pembunuhannya, selepas polis mendedahkan mereka telah menemui lebih banyak potongan anggota badan semasa pencarian kelmarin.
Abby Choi, yang pernah muncul dalam majalah fesyen dan menarik lebih 100,000 pengikut dalam laman Instagram, dilaporkan hilang pada Selasa lalu, kata pendakwa raya kepada mahkamah.
Pada Sabtu, polis berkata sebahagian anggota mayat telah ditemui di dalam peti sejuk dan periuk sup di sebuah rumah tepi laut.
Selepas pemeriksaan susulan terhadap bahan yang dirampas di hartanah tersebut, polis menemui apa yang mereka percaya sebagai tengkorak, rambut dan beberapa tulang rusuk Choi.
Bekas suaminya, Alex Kwong, 28, serta bapanya Kwong Kau dan abangnya Anthony Kwong, didakwa atas tuduhan membunuh hari ini dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Bekas ibu mentua Choi, Jenny Li, didakwa menghalang proses keadilan dengan memusnahkan bukti.
Hartanah tempat polis menemui lebihan mayat itu telah dilengkapi dengan gergaji elektrik dan penggiling daging yang telah digunakan untuk mengisar daging manusia, menurut penguasa Alan Chung.
Pemeriksaan forensik menemui lubang di belakang tengkorak yang boleh menjadi bukti serangan maut.
“Kami percaya mangsa telah diserang ketika berada di dalam kenderaan (yang membawanya ke rumah) dan dia sudah tidak sedarkan diri ketika tiba,” kata Chung kepada pemberita pada malam kelmarin.
Menurut polis, Choi terlibat dalam pertikaian kewangan dengan bekas suami dan keluarga lelaki itu membabitkan harta mewah.