Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Belum ada tangkapan dibuat atas pembunuhan Ismail Haniyeh’

    TEHRAN, 6 OGOS – Iran masih belum membuat sebarang tangkapan yang dikaitkan dengan pembunuhan yang disyaki dilakukan oleh Israel terhadap ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, kata badan kehakiman Iran hari ini.
     
    Pemimpin kumpulan pejuang Palestin itu terbunuh Rabu lalu semasa lawatan untuk upacara angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
     
    ‘Siasatan yang wajar’ telah dimulakan dan keputusannya akan diumumkan ‘sebaik sahaja siasatan selesai,’ kata jurucakap badan kehakiman, Asghar Jahangir.
     
    “Sehingga hari ini, tiada tangkapan dibuat berhubung kes ini,” katanya sambil menambah siasatan melibatkan pegawai-pegawai tentera Iran.
     
    Pengawal Revolusi Iran berkata, Haniyeh dibunuh menggunakan ‘peluncur jarak dekat’ yang dilancarkan dari luar penginapannya di Tehran.
     
    Iran dan Hamas telah menyalahkan Israel dan berikrar akan menyerang balas. Israel enggan mengulas.
     
    Pada Sabtu, New York Times melaporkan bahawa Iran telah menangkap lebih 20 orang, termasuk pegawai-pegawai perisikan kanan, berhubung dengan pembunuhan Haniyeh.
     
    Jahangir mengetepikan dakwaan-dakwaan mengenai sebarang tangkapan sebagai ‘khabar angin’ dan ‘palsu.’
     
    “Pembunuhan Haniyeh pasti akan disambut dengan respons berani oleh Republik Islam,” katanya. – AFP
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda