Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel TSP tingkatkan nilai produk pelancongan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Industri pelancongan Negara Brunei Darussalam menjangkakan ketibaan lebih 400,000 pelancong melalui udara pada 2026 di mana ia dianggarkan akan membawa kemasukan pendapatan pelancongan sekitar $300 juta daripada ketibaan udara berkenaan.

    Bagi mencapai sasaran itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi sedia ada dan baharu untuk meneroka pasaran-pasaran dan melancarkan pakej serta program baharu dan yang dipertingkatkan.

    Dalam hubungan itu, salah satu inisiatif jabatan tersebut adalah penganjuran Bengkel Peningkatan Penyedia Perkhidmatan Pelancongan (TSP) yang bermula pada Februari 2023.

    Program itu bermatlamat untuk meningkatkan nilai produk-produk yang ditawarkan, menyuntik keyakinan kepada produk serta menyediakan kepada mereka sumber bagaimana untuk meningkatkan lagi produk kepada para pelancong.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah JKP, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh pada Majlis Penyampaian Anugerah ASEAN Tourism Standards 2024 dan Penyampaian Sijil Penyertaan Program Peningkatan Penyedia Perkhidmatan Pelancongan yang berlangsung di KSSUP, hari ini.

    Hajah Tutiaty bergambar ramai dengan para penerima dari Negara Brunei Darussalam bagi Anugerah ASEAN Tourism Standards. – GAMBAR OLEH SIM.Y.H.

    Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah dan sijil penyertaan kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Dalam ucapannya lagi, Dayang Salinah menyatakan dalam tempoh setahun, para peserta program berkenaan telah menunjukkan penambahbaikan dalam perkhidmatan dan produk yang ditawarkan.

    Walaupun ia merupakan satu langkah kecil, katanya, tetapi ia merupakan langkah mustahak ke arah memastikan sektor berkenaan dapat berkembang dan pelawat-pelawat akan menikmati pengalaman yang menarik serta berkualiti.

    Pada majlis itu para penerima Anugerah ASEAN Tourism Standards dari Negara Brunei Darussalam diraikan di mana pengiktirafan berprestij berkenaan diberikan kepada entiti-entiti Brunei bersempena dengan Forum Pelancongan ASEAN 2024 (ATF 2024) yang membawa tema, Quality and Responsible Tourism-Sustaining ASEAN Future yang telah berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos pada 26 Januari lalu.

    ASEAN Tourism Standard merupakan sebuah standard bagi pemain-pemain industri pelancongan serantau dan negara-negara anggota ASEAN dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan cemerlang kepada para pelancong dengan matlamat menjadikan ASEAN sebagai destinasi bertaraf dunia bagi kecemerlangannya selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025.

    Antara penerima anugerah adalah The Empire Brunei yang merupakan penerima tunggal The ASEAN MICE Venue Standard bagi Kategori Exhibition Venue Type 1 dan Kategori Meeting Room.

    Di samping itu, Hotel Radisson Brunei Darussalam dan An-Naura Hall, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dianugerahkan bagi Kategori Meeting Room.

    Hotel Radisson Brunei Darussalam juga dianugerahkan dengan Standard ASEAN Green Hotel manakala Kuala Belait di antara keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam telah diiktiraf sebagai ASEAN Clean Tourist City di mana anugerah berkenaan telah disampaikan semasa ATF 2024 di Laos.

    Sementara itu, Freme Rainforest Lodge Sdn Bhd telah menerima anugerah bagi pencapaian dalam ASEAN Sustainable Tourism (Gastronomy Tourism-Rural).

    Majlis juga menyaksikan penyampaian sijil penyertaan bagi Program Peningkatan TSP 2023 oleh Hajah Tutiaty kepada lima peserta iaitu Eco Ponies Garden, Labi Coffee Farm, Lamin Warisan, Mori Farm dan Roda Impian Cruise.

    Program yang dilancarkan oleh JKP itu bermatlamat bagi membantu penyedia perkhidmatan pelancongan dalam meningkatkan perkhidmatan dan produk untuk memenuhi standard yang lebih tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda