Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat ke istiadat pertabalan YDPA Malaysia 20 Julai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha akan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Majlis Santapan Diraja pada 20 Julai di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Keberangkatan Baginda berdua untuk menghadiri Istiadat Pertabalan yang bersejarah ini merupakan atas Warkah Persilaan yang disembahkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kehadapan majlis Baginda Sultan pada 25 Jun lalu di Istana Nurul Iman.

    Perutusan rasmi Baginda Sultan untuk berangkat hadir ke Istiadat Pertabalan tersebut kemudian disembahkan oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris pada 10 Julai di Istana Negara, Malaysia.

    Keakraban hubungan mesra yang terjalin sejak sekian lamanya antara Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Agong ini dapat dilihat menerusi siri-siri keberangkatan Baginda dan Baginda Raja Isteri ke Johor sebelum ini, antaranya keberangkatan menghadiri Istiadat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim sebagai Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang Kelima pada 23 Mac 2015 dan istiadat-istiadat perkahwinan diraja Johor; kunjungan-kunjungan muhibah Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke Negara Brunei Darussalam serta istiadat-istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah semasa Istiadat Persandingan Diraja di antara Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Ibrahim dengan Encik Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos 2017 di Istana Besar Johor Bahru. – GAMBAR FAIL INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda