Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli ke Upacara Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Pasokan Simpanan Gurkha (PSG) yang berlangsung di Padang Kawad, Perkhemahan Sungai Akar.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan Komandan PSG, Leftenan Kolonel (U) Haji Habil bin Haji Adol.
Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan dijunjung beredar ke pentas diraja dan berkenan menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 161 anggota PSG, termasuk gabungan Serunai dan Tambur PSG dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di bawah Pemerintah Perbarisan, Kapten Rabindra Prakash Tulachan.
Upacara berkenaan kemudian disusuli dengan perbarisan kawalan kehormatan berjalan lalu dan diikuti dengan mara ke hadapan untuk diperiksa semula.
Semasa upacara berkenaan, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah bersempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG.
Bagi memohon keberkatan majlis, doa dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Baginda seterusnya dijunjung bagi menyaksikan persembahan arena yang menunjukkan Paparan Corak Khukri, persembahan tarian kebudayaan Republik Demokratik Persekutuan Nepal dan demonstrasi daripada Unit Anjing K-9 PSG.
Dari padang kawad, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Galeri Gurkha bagi perasmian pembukaan galeri tersebut.
Sejurus tiba di galeri, Baginda berkenan menandatangani plak perasmian pembukaan Galeri Gurkha, diiringi dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Baginda Sultan seterusnya dijunjung beredar ke ruang galeri bagi melihat secara dekat koleksi sejarah awal kewujudan dan peranan PSG di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1974.
Baginda Sultan kemudian dijunjung berangkat ke Mes Pegawai PSG bagi Majlis Santap Tengah Hari dan Baginda juga seterusnya berkenan memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG dengan iringan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW oleh pegawai dan anggota JAMA’AT.
Baginda Sultan juga berkenan menerima pesambah berupa sebilah khukri, iaitu sejenis senjata tradisi kebangsaan Nepal. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung bagi majlis ramah mesra bersama para jemputan, warga dan ahli keluarga anggota PSG sebelum menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan bergambar ramai bersama para jemputan dan warga PSG sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG telah jatuh pada 25 Februari dan bagi memperingati upacara sambutan yang bersejarah pada tahun ini, Baginda berkenan mengurniakan pingat Jubli Emas PSG kepada semua pegawai dan anggota PSG termasuk mantan-mantan pemimpin PSG.
Baginda juga memperkenankan penukaran nama PSG kepada Pasukan Sekuriti Gurkha.