Monday, November 25, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Masa Depan anjuran PBB

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Masa Depan pada Sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertempat di Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat.

    Semasa sidang berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah menekankan bahawa PBB telah bangkit lebih 80 tahun yang lalu daripada dunia yang berpecah belah akibat konflik demi mewujudkan aspirasi secara kolektif bagi masa hadapan yang dijalinkan atas perpaduan dan bukannya perpecahan. PBB, tegas Baginda, telah mengemudi kebangkitan dan kejatuhan empayar, serta kesan bencana alam dan wabak pandemik.

    Walau bagaimanapun, di sebalik kesukaran ini, prinsip kemanusiaan PBB kekal sebagai panduan semua dalam menghadapi cabaran global yang baharu dan baru muncul.

    Selaras dengan tema Summit of the Future: Multilateral Solutions for a Better Tomorrow, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menggariskan tiga perkara utama. Iaitu yang pertama dalam dunia yang saling berhubung ini, jurang digital mengancam untuk memperdalam ketidaksamaan antara negara dan masyarakat. Namun begitu, hanya melalui keamanan global boleh manusia berusaha untuk mencapai kemajuan luar biasa dalam teknologi, perubatan dan infrastruktur. Oleh itu, Baginda menegaskan bagi mengekalkan keamanan global untuk memastikan semua yang terlibat terus berusaha mencapai perkongsian yang memudahkan kemajuan teknologi yang adil dan inklusif untuk semua negara.

    Perkara Kedua ialah bagi Negara Brunei Darussalam, Matlamat Pembangunan Milenium dan Matlamat Pembangunan Mampan bukan sekadar penanda aras, bahkan adalah suara harapan untuk masa hadapan yang lebih baik. Oleh itu, sidang kemuncak ini memperkukuh komitmen bahawa tiada sesiapa tertinggal dan yang berpaksikan teguh dalam nilai yang menentukan kemanusiaan bersama.

    Sementara itu perkara ketiga, Negara Brunei Darussalam sebagai ahli kepada PBB dan ASEAN sejak empat dekad lalu telah menerima peranan globalnya dengan menyokong multilateralisme dan perundangan antarabangsa berasaskan peraturan bagi memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau dan seterusnya. Landskap keamanan antarabangsa semasa, tambah Baginda, berada pada persimpangan kritikal, dengan konflik berterusan dan kebuntuan diplomatik menguji daya tahan kerjasama global.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menyatakan bahawa sidan kemuncak berkenaan mengesahkan kembali komitmen untuk menegakkan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa tanpa prejudis atau diskriminasi bagi menyatukan negara-negara dengan kukuh. Ke arah ini, Baginda menzahirkan keyakinan bahawa visi kolektif dapat sama-sama diubah menjadi realiti yang cerah untuk generasi masa kini dan akan datang, inilah ‘Pact for the Future’ bagi semua.

    Sidang kemuncak berkenaan turut dihadiri oleh para pemimpin dunia untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran global semasa dan yang mendatang, serta menyediakan peluang dalam membina semula kepercayaan bagi kerjasama antarabangsa ke arah membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua. Ia juga menegaskan semula komitmen yang sedia ada, termasuk Matlamat Pembangunan Mampan dan Piagam PBB.

    Terdahulu, dalam mempamerkan perpaduan global untuk generasi masa kini dan akan datang, dokumen hasil ‘Pakatan Masa Depan’ telah diluluskan semasa segmen pembukaan Sidang Kemuncak Masa Depan itu.

    Dokumen tersebut memfokuskan lima bidang iaitu Pembangunan Mampan dan Kewangan untuk Pembangunan; Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa; Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kerjasama Digital; Belia dan Generasi Masa Depan; dan Mengubah Tadbir Urus Global. Selain itu, dokumen Global Digital Compact dan Declaration on Future Generations juga telah disahkan. Sidang Kemuncak berkenaan juga didahului oleh kenyataan-kenyataan daripada Presiden Perhimpunan Agung PBB, Tuan Yang Terutama Philemon Yang.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan YTM Paduka Seri Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berangkat menghadiri sidang kemuncak berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda