Friday, September 27, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1446 Hijrah, di Dewan Royal Berkshire, Tarindak D’ Polo, Jerudong, hari ini.

    Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

    Keberangkatan tiba Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah.

    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menghadiri perjumpaan berkenaan.

    Turut menjunjung, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, selaku Penasihat Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah dan juga Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Pengendali Bersama; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengendali Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Hajah Masna berkenan menghadiri perjumpaan berkenaan.

     Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh naib johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1445H/2024M, Dayangku Alya Shahirah binti Pengiran Haji Jofri.

    Persembahan bacaan oleh Dayangku Alya Shahirah.

     Pemangku Penolong Pengarah Pengajian Islam (Institusi Pengajian), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah dalam sembah alu-aluan antara lain menyembahkan, dengan memelihara akal berpandukan Sunnah Rasulullah SAW akan dapat membantu untuk menjalani kehidupan dengan penuh ketakwaan dan ketenangan.

    Yang Mulia Dayang Hajah Mariana menyampaikan Sembah Alu-Aluan.

    Beliau seterusnya menyembahkan, “Akal merupakan anugerah Allah SWT yang sangat berharga, di mana akhir-akhir ini isu tentang kesihatan mental banyak dibicarakan.

    “Tidak dapat dinafikan, kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal, oleh itu akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat,” jelasnya.

    Selain itu, beliau turut menyembahkan tema Majlis Perhimpunan Khas Wanita tahun ini, Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW.

    Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada gabungan pegawai dan kakitangan KHEU, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yayasan dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

    Persembahan Dikir Marhaban daripada gabungan pegawai dan kakitangan KHEU, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Majlis Wanita Brunei Darussalam.

     Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Ahli Psikologi Klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan.

    Yang Mulia Dayang Nor Syahmun menyampaikan ceramah khas.

     Acara diteruskan dengan bacaan selawat oleh pelajar Tahun 4 dan 5, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, manakala bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Ugama Kanan di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

    Bacaan Selawat oleh Pelajar Tahun 4 dan 5, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

     Turut hadir, penasihat-penasihat bersama, pengerusi-pengerusi bersama daripada pengendali-pengendali bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah dari KHEU, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yayasan dan MWNBD.

    Atas & Bawah: Antara yang hadir di majlis berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda