Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat ke Sambutan Hari Belia ke-19

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Berangkat sama ke majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Keberangkatan tiba Baginda berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Pada majlis itu, Baginda Sultan berkenan dijunjung menyempurnakan pengurniaan anugerah Hari Belia ke-19 kepada empat orang penerima dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang untuk Belia.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra bersama peserta pameran pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran belia pada majlis yang diadakan di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung melancarkan media sosial Instagram Hab Belia. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Belia Cemerlang 2024 kepada Dayang Basma Lachkar. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Belia Berkhidmat 2024 kepada Awang Muhammad Haziq Hisyam. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Pemimpin Muda Belia 2024 kepada Awang Mohammad Ashmeer Imitiaz Ahmad. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia kepada Dayang Nornaqibah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta majlis. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama warga Progresif. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung menyaksikan pameran belia pada majlis tersebut.
    Lafaz ikrar belia dibacakan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2024 dianugerahkan kepada Dayang Basma Lachkar, yang menerima wang tunai $3,000, trofi dan sijil penghargaan serta sebidang kain tenunan Brunei iaitu kain Jong Sarat Bunga Bintang Gemilang dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd.

    Manakala Anugerah Belia Berkhidmat 2024 pula dianuge-rahkan kepada Awang Muhammad Haziq Hisyam bin Mohd Zaki, yang menerima wang tunai sebanyak $3,000, trofi dan sijil penghargaan serta sebidang kain tenunan Brunei iaitu kain Bertabur Bunga Permata Bangsa dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd.

    Sementara Anugerah Pemimpin Muda Belia 2024 dianugerahkan kepada Awang Mohammad Ashmeer Imitiaz Ahmad, yang menerima wang tunai $3,000, trofi dan sijil penghargaan serta sebidang kain tenunan Brunei iaitu kain Jong Sarat Bunga Kebahagiaan dan pakej percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd.

    Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid pula diumumkan penerima Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia, dianugerahkan kepada Lamin Warisan dan menerima wang tunai $3,500, trofi serta sijil penghargaan.

    Terdahulu itu, lafaz ikrar belia dibacakan oleh 50 orang yang terdiri daripada 25 orang lelaki dan 25 orang perempuan, termasuk dua orang kelainan upaya (OKU). Mereka merupakan belia-belia yang mewakili institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan serta belia profesional dari sektor kerajaan dan swasta.

    Bacaan ikrar belia diketuai oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid selaku pembaca utama, yang merupakan johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Kebangsaan 1445H; Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, JobCentre Brunei, Pejabat Tenaga Manusia, Awang Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar dan Penolong Pengurus Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama, Pejabat Pengurusan Strategik, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Dayang Azrina binti Hidup selaku pengiring.

    Selain itu, majlis turut mempersembahkan tayangan video utama yang memaparkan perjalanan kehidupan belia-belia yang diilhamkan daripada kisah benar yang memperlihatkan cabaran, usaha, kejayaan dan kesatuan belia dalam mencapai matlamat yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza.

    Acara diserikan dengan persembahan belia yang menampilkan inovasi kebudayaan orang-orang Brunei iaitu berbalas pantun belia. Persembahan belia ini bukan hanya sebagai wadah untuk mempromosikan seni warisan pantun Melayu, ia juga menekankan nilai nasihat dan kearifan yang dipersembahkan melalui pantun-pantun berkenaan.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat ke Pameran Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, di Ruang Legar, ICC dan berkenan melancarkan media sosial Instagram Hab Belia.

    Platform Instagram Hab Belia merupakan satu inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi membarigakan semua aktiviti sektor kebeliaan di bawah KKBS kepada orang ramai khususnya kepada golongan belia untuk mencapai jaringan yang lebih luas dan komprehensif.

    Sementara itu, Baginda Sultan juga berkenan menerima pesembah berupa plak peringatan yang disembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jafaar pada acara tersebut.

    Progresif mempamerkan Progresif Ding! dengan menampilkan potensinya untuk meningkatkan pengurusan wang harian, khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk usahawan belia.

    Progresif Ding! menyediakan platform yang mudah digunakan untuk penjejakan transaksi dan penglibatan pelanggan, menghapuskan keperluan untuk menyimpan, melindungi, mengeluarkan dan mendepositkan tunai. Ia memastikan transaksi yang lebih selamat, lebih mudah dan terjamin.

    Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Belia Kebangsaan, Progresif menawarkan promosi eksklusif untuk 50 pelanggan pertama yang mendaftar atau port-in dan mengaktifkan dompet Ding! mereka pada majlis itu.

    Pameran Hari Belia Kebangsaan 2024 berlangsung hingga esok di Ruang Legar, ICC dan dibuka untuk kunjungan orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda