Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi dan berangkat pulang

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Resepsi sempena memperingati Ulang Tahun Ke-40 Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Ibu Pejabat P.B.B., New York, Amerika Syarikat.

    Semasa Majlis Resepsi ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda mengimbas kembali keahlian penting Negara Brunei Darussalam ke pentas global sebagai anggota ke-159 PBB pada tahun 1984, dengan menyertai forum paling berprestij bagi masyarakat antarabangsa bagi kerjasama dan diplomasi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah dalam majlis resepsi berkenaan.

    Pada tahun yang sama, Negara Brunei Darussalam juga menjadi ahli kepada ASEAN, mengukuhkan lagi hubungan serantau dan kedudukan global negara. Keahlian-keahlian ini menandakan detik penting bagi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara kecil dalam mendorong ke arah penglibatan yang bermakna dalam hubungan antarabangsa.

    Sebagai anggota PBB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam telah mendapat manfaat daripada kerjasama dalam pembangunan mampan, kemajuan pendidikan dan kesihatan awam global.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam bukan sahaja telah memperkaya negara berkenaan bahkan juga menyumbang kepada kemajuan kolektif masyarakat global. Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam berbangga dengan sumbangannya kepada PBB dan pelbagai kejayaan yang dicapai bersama melalui misi-misi pengamanan, sokongan terhadap pembasmian kemiskinan dan pendidikan inklusif bagi semua negara.

    Baginda seterusnya bertitah bahawa dunia hari ini berada pada saat yang penting dan cabaran yang dihadapi adalah besar. Namun keazaman dan kekuatan kolektif negara kekal tidak berbelah bahagi. Ke arah ini, Negara Brunei Darussalam komited untuk terus bekerjasama rapat dengan semua negara ahli PBB ke arah memastikan masa depan yang lebih baik bagi semua.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua ), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof;  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali; dan Pemangku Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, Yang Mulia Dayang Izzat Hayati binti Haji Zakaria.

    Majlis Resepsi ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan, wakil-wakil Negara dan Kerajaan, orang-orang kenamaan dari negara-negara anggota PBB serta organisasi-organisasi antarabangsa.

    Atas & bawah: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bertemu dengan antara pemimpin-peimimpin yang hadir dalam majlis resepsi berkenaan.

    Negara Brunei Darussalam menyertai PBB sebagai negara ahli yang ke-159 semasa Sesi Ke-39 Perhimpunan Agung PBB pada 21 September 1984. Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam PBB telah dapat menyediakan peluang sebagai sebuah negara kecil yang memainkan peranan penting di arena antarabangsa serta turut menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa dan juga kemakmuran dan kestabilan global.

    Keberangkatan balik dari New York 

    Selesai Majlis Resepsi berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat balik dari New York, Amerika Syarikat.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

    Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned sebelum KDYMM Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berangkat pulang.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali; dan Pemangku Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat, Yang Mulia Dayang Izzat Hayati binti Haji Zakaria.

    KDYMM Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan berangkat pulang. – GAMBAR-GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda