Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pada 5 hingga 6 Mac ini, di Melbourne, Australia.
Ia akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese.
Sidang kemuncak khas itu diadakan bersempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia bagi meningkatkan kerjasama ASEAN-Australia di bawah perkongsian strategik komprehensif yang ditubuhkan pada 2021 serta meneroka peluang-peluang kerjasama baharu bagi menjana pertumbuhan ekonomi, menangani perubahan iklim, menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan meningkatkan kerjasama maritim.
Sejak menjadi Rakan Dialog ASEAN pertama pada 1974, ASEAN dan Australia bekerjasama untuk menangani cabaran kompleks yang dihadapi di rantau ini, di mana kerjasama praktikal ASEAN-Australia telah menjadikan rantau ini lebih aman, terbuka, stabil dan makmur.
Semasa di Melbourne juga nanti, Baginda Sultan dijangka akan mengadakan perjumpaan-perjumpaan berasingan bersama Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Australia dan Perdana Menteri New Zealand, Tuan Yang Terutama Christopher Luxon, serta akan berkesempatan menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand.
Kali terakhir Baginda Sultan berangkat ke Australia adalah pada Jun 2023 bagi keberangkatan negara dan pada Mac 2018 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas
ASEAN-Australia di Sydney.