Gambar oleh Infofoto
AMMAN, JORDAN, 2 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan berangkat ke Majlis Menandatangani Dokumen Perkahwinan dan Akad Nikah Diraja serta Majlis Resepsi dan Santap Malam sempena Istiadat Perkahwinan Diraja bagi Putera Mahkota Jordan, His Royal Highness Prince Al Hussein bin Abdullah II, dengan Rajwa Khalid Alseif.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Majlis Menandatangani Dokumen Perkahwinan dan Akad Nikah Diraja tersebut telah berlangsung petang kelmarin di Istana Zahran, Amman, kerajaan Hasyimiah Jordan, di mana keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Raja Jordan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II ibn Al Hussein dan Permaisuri Jordan, Her Majesty Queen Rania Al Abdullah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat ke Royal Gazebo bagi menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perkahwinan dan Akad Nikah Diraja antara His Royal Highness Prince Al Hussein dengan Rajwa Khalid Alseif.
Sebelum berangkat balik, Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan mempelai diraja atas berlangsungnya istiadat perkahwinan berkenaan.
His Royal Highness Prince Al Hussein, yang merupakan putera sulung kepada Raja Jordan dan Permaisuri Jordan, dan Rajwa Khalid Alseif yang berasal dari Arab Saudi, kemudiannya dibawa dalam satu perarakan menuju ke Istana Al-Husseinieh.
Pada sebelah malam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Resepsi dan Santap Malam yang berlangsung di Istana Al-Husseinieh.
Semasa majlis resepsi itu, Baginda Sultan berkesempatan beramah mesra bersama Raja Jordan dan Permaisuri Jordan serta His Royal Highness Prince Al Hussein dengan Rajwa Khalid Alseif.
Selepas majlis tersebut, Baginda Sultan kemudiannya dijunjung berangkat menghadiri majlis santap malam bersama para tetamu khas yang lain termasuk daripada kerabat diraja serta para pemimpin dari luar negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya akan menghadiri satu majlis resepsi dan santap malam yang lain pada hari ini.