Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan pengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah BLNG dan BGC

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Joint Ventures Companies (BSJV) pagi hari ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei LNG Sdn Bhd (BLNG) Ke-222 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) Ke-108 bagi Suku Kedua tahun 2024.

    Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.

    Dengan pengambilalihan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah-Pengarah BSJV ini jelas mencerminkan keprihatinan Baginda untuk memimpin dan mengemudi hala tuju masa depan Sektor Minyak dan Gas yang merupakan salah satu tunggak utama dalam ekonomi negara.

    Ia juga bagi memastikan pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam meningkat lebih pesat pada masa akan datang, selaras dengan Matlamat 3 di bawah Wawasan Brunei 2035 iaitu ‘Ekonomi yang Dinamik dan Berdayatahan’.

    Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, sebagai ahli-ahli Lembaga Pengarah-Pengarah BLNG dan BGC.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah BLNG Ke-222 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah BGC Ke-108 bagi Suku Kedua tahun 2024. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan Doa oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Mesyuarat yang juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell PLC dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kumpulan kepimpinan daripada BLNG dan BGC, antara lainnya, menggariskan kemajuan semasa, inisiatif dan rancangan masa hadapan BLNG dan BGC.

    Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Brunei LNG Sdn Bhd mencipta sejarah sebagai syarikat pertama di Pasifik Barat yang memulakan pencairan gas asli secara besar-besaran.

    Sebagai salah satu pembekal utama Gas Asli Cecair (LNG), BLNG membekalkan LNG terutamanya kepada pelanggan di rantau Asia.

    Setakat ini, BLNG telah menghantar lebih 7,500 kargo kepada pelanggan mereka melalui empat kapal LNG yang dimiliki oleh Brunei Gas Carriers Sdn Bhd.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) Ke-411 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM) Ke-189 bagi Suku Kedua tahun 2024 pada hari esok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda