Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersyukurlah jadi umat Nabi Muhammad SAW

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Nabi Muhammad SAW sangat kasih dan sayang kepada umat Baginda dan setiap kali ada peluang untuk menyelamatkan umatnya, Baginda SAW akan menggunakannya.

    Ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Maka bersyukurlah menjadi salah seorang umat Islam bahkan menjadi salah seorang umat Nabi Muhammad SAW.

    Perkara tersebut antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Muiz bin Haji Amat, dari Masjid Kampung Bengkurong sempena Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diadakan secara dalam talian kelmarin.

    Turut menyertai program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara turut mengundang tetamu khas iaitu Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Haji Badarudin bin Haji Bagol, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Kampus RB.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai acara Malam Munajat kendalian KHEU yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Turut mengimarahkan acara tersebut ialah warga kerja RB; Kumpulan Belia Masjid Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait; ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Kampung Bengkurong; Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong; dan Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok, serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara berjumlah 71 buah.

    Juga menyertai ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Morni bin Haji Nayan dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok.

    Selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asma Ul-Husna beramai-ramai di-pimpin oleh ahli Kumpulan Belia Masjid, Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, Awang Ahmad Rifa’ie bin Mohd Fauziee dari balai ibadat berkenaan.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat II, Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku Katok, Awang Mohd Hijrajul Nizam bin Alawi.

    Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWTdengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda