SILVERSTONE, 25 MEI – Pelumba Itali, Marco Bezzecchi muncul juara dalam perlumbaan MotoGP Britain yang penuh insiden hari ini, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan sejak kejohanan India 2023 dalam perlumbaan yang memerlukan dua kali permulaan di Litar Silverstone.
Penunggang berusia 26 tahun itu yang mewakili pasukan Aprilia menamatkan saingan di hadapan pelumba Perancis, Johann Zarco (Honda LCR), yang turut melonjakkan reputasinya selepas kemenangan mengejutkan di Perancis dua minggu lalu. Sementara itu, pendahulu kejuaraan, Marc Marquez (Ducati) berjaya merebut tempat ketiga di penghujung saingan.
Dengan keputusan itu, Marquez berjaya melebarkan jurang pendahuluannya dalam kedudukan keseluruhan berbanding adiknya, Alex Marquez.
Namun, pelumba paling tidak bernasib baik ialah juara dunia 2021 dari Perancis, Fabio Quartararo, yang bermula dari petak utama buat kali ketiga berturut-turut dan dilihat berpeluang cerah meraih kemenangan pertamanya sejak tahun 2022.
Malangnya, aksinya terhenti pada pusingan ke-12 akibat masalah teknikal.

Semua pelumba dibenarkan memulakan semula perlumbaan – termasuk adik-beradik Marquez yang terlibat dalam kemalangan – kerana perlumbaan asal belum mencapai tiga pusingan lengkap.
Alex Marquez terbabas di selekoh pertama, manakala Marc pula terjatuh di pusingan kedua ketika sedang mendahului perlumbaan.
Perlumbaan dihentikan dengan bendera merah selepas tumpahan minyak di atas litar yang berpunca daripada perlanggaran antara Franco Morbidelli dan Aleix Espargaro.
Alex Marquez lebih berhati-hati ketika perlumbaan disambung semula, namun sempat memintas Quartararo sebelum pelumba Perancis itu merampas semula kedudukan pendahulu dan Alex jatuh ke tempat kelima.
Quartararo turut mendapat kelebihan apabila Jack Miller yang menunggang jentera Yamaha satelit melonjak ke tempat kedua pada pusingan kedua, manakala Zarco turut naik ke tangga ketiga. – AFP