Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD lancarkan SME 360 baharu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini telah mengadakan sidang media secara maya bagi melancarkan SME 360 yang diperbaharui
    dan telah direka bentuk semula.

    Pembaharuan berkenaan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada komuniti perniagaan melalui visi dan misi yang lebih meluas serta siri inisiatif termasuk platform laman web mikro baharu dan kempen penglibatan komuniti yang bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pulih daripada kesulitan berkaitan pandemik yang dihadapi sejak dua tahun kebelakangan ini.

    Melalui Siri SME 360, BIBD berharap dapat membantu dalam pertumbuhan senario keusahawanan yang lebih rancak, dinamik dan mampan dan pada masa yang sama, memainkan peranan dalam pemulihan mampan perniagaan kecil di Brunei, selaras dengan peranan bank sebagai rakan kongsi dalam kemajuan.

    Semasa sidang media tersebut, BIBD turut memulakan siri kempen baharu berkenaan dengan memperincikan inisiatif yang akan menyumbang maklumat, sumber dan rangkaian sokongan kepada usahawan dan profesional baharu dan mapan yang cuba menjadikan 2022 sebagai tahun yang menguntungkan dan makmur.

    Kempen berkenaan juga menampilkan pelancaran laman mikro baharu yang disasarkan untuk dibuka pada Januari depan, siri 10 bahagian ceramah maya dan forum rangkaian khusus industri, dan program penglibatan komuniti selama tiga bulan yang melibatkan pelbagai kumpulan komuniti dari semua peringkat umur.

    Antara yang menghadiri sidang media pelancaran SME 360 baharu yang diadakan secara maya. – Gambar serahan BIBD

    Ketua Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Koh Swan Sing berkata, “Visi strategik BIBD sentiasa sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Baru-baru ini, melalui rangka kerja kelestarian, kami berharap dapat melengkapkan usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG) dengan mewujudkan pelan holistik yang menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang berkekalan, pemerkasaan komuniti, gaya hidup lebih sihat dan pengeluaran dan penggunaan yang lebih mementingkan alam sekitar,” ujarnya.

    Menonjolkan 10 industri utama di mana syarikat permulaan tempatan, termasuk makanan dan minuman, industri perkhidmatan, pendidikan, kecergasan, pelancongan, pembinaan dan minyak dan gas, platform SME 360 akan menggunakan microsite baharu untuk berfungsi sebagai startup toolkit dan knowledge hub yang menyediakan maklumat, direktori dan panduan tentang cara menavigasi ke arah menubuhkan dan melestarikan perniagaan di Brunei.

    Dengan memasukkan maklumat yang berguna, BIBD berharap dapat membantu mengurangkan beberapa kesukaran yang dihadapi oleh syarikat permulaan dan memperkasakan lebih ramai belia Brunei untuk membangunkan usaha perniagaan yang berjaya.

    Dengan laman mikro SME 360 dan forum SME 360 pertama yang ditetapkan untuk dilancarkan pada awal Januari depan, BIBD menggalakkan para usahawan untuk menggunakan peluang yang ada dan menggunakannya sebagai platform untuk membina semula perniagaan yang lebih mampan dan menguntungkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda