Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bieber nampak tertekan, tidak terurus

    Kebimbangan peminat terhadap Justin Bieber meningkat selepas penyanyi itu dilihat tidak terurus ketika berada di New York, Amerika Syarikat (AS) ketika khabar angin mengenai kemelut rumah tangganya bertebaran, awal bulan ini.

    Memetik BH Online, bintang Pop berusia 30 tahun itu tampak letih dan seolah-olah sedang tertekan ketika tiba di sebuah restoran untuk makan tengah hari.

    Bieber mengenakan jaket dengan seluar sangat besar sehingga hampir terlondeh di bawah pinggang dengan hujung seluar menutupi kasut.

    Salah seorang peminat meluahkan kebimbangan dalam platform X mengenai apa yang terjadi kepada Bieber kerana sebelum ini, sering tampil ceria dan segak.

    “Apa yang sedang berlaku dengan Justin Bieber? Kenapa dia berjalan di sekitar New York dengan seluar hampir jatuh separuh di kaki?

    Bieber kelihatan tertekan dan tidak terurus semasa berada di New York ketika khabar angin mengenai kemelut rumah tangganya bertebaran. – hellomagazine

    “Adakah tidak mampu beli tali pinggang? Ini sangat membimbangkan,” tulis peminat.
    Peminat lain turut prihatin terhadap keadaan penyanyi itu.

    “Justin Bieber memang nampak sangat berbeza. Saya tak sangka itu adalah dirinya sehingga nampak tatu di telinga.

    “Kita patut berdoa untuk Justin Bieber supaya kembali semangat,” tulis seorang peminat lagi.

    Keadaan Bieber kelihatan semakin rumit selepas penahanan sahabat baiknya, Sean Diddy Combs pada September lalu.

    Persahabatan Bieber dengan penyanyi rap itu yang kini sedang menunggu perbicaraan kerana tuduhan pemerdagangan manusia mendapat perhatian meluas selepas rakaman lama menunjukkan Bieber ketika remaja bersama Diddy di kaca televisyen (TV).

    Selain itu, Bieber turut dilapor berdepan masalah rumah tangga selepas didapati tidak mengikuti isterinya, Hailey Bieber di Instagram (IG), awal bulan ini.

    Namun, penyanyi lagu Sorry itu kemudiannya menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa akaun IG miliknya digodam.

    “Ada orang masuk ke akaun saya dan unfollow isteri saya. Semua ini nampak sangat mencurigakan,” tulis Bieber dalam nota yang dimuat naik di IG.

    Namun, sumber memberitahu The Sun bahawa beberapa rakan Hailey sudah menasihatinya meninggalkan Bieber. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda