NEW YORK, 21 NOV – Bilionair India, Gautam Adani didakwa membayar rasuah membabitkan ratusan juta dolar dan menyembunyikan pembayaran daripada pelabur, kata pendakwa raya Amerika Syarikat (AS), semalam.
Adani, yang merupakan pengerusi Adani Group dengan empayar perniagaan yang merangkumi sektor arang batu, lapangan terbang, simen dan media, kini berdepan pelbagai dakwaan penipuan korporat dan kejatuhan saham dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau yang juga rapat dengan Perdana Menteri nasionalis Hindu, Narendra Modi, didakwa telah bersetuju membayar lebih daripada AS$250 juta dalam rasuah kepada pegawai India untuk mendapatkan kontrak bekalan tenaga suria yang menguntungkan.
Perjanjian tersebut dijangka akan menghasilkan keuntungan selepas cukai melebihi AS$2 bilion dalam tempoh lebih 20 tahun.
Pejabat pendakwa raya turut memaklumkan kepada AFP bahawa tiada seorang pun daripada beberapa defendan dalam kes itu, termasuk Adani, yang telah ditahan.
Pendakwa raya mengatakan salah seorang rakan sejenayah Adani merekodkan secara terperinci pembayaran rasuah, menggunakan telefon bimbitnya untuk mencatatkan jumlah wang yang diberikan kepada pegawai.
“Tuduhan ini mendakwa skim untuk membayar lebih AS$250 juta dalam bentuk rasuah kepada pegawai kerajaan India, menipu pelabur dan bank untuk mendapatkan dana bernilai berbilion dolar serta menghalang proses keadilan,” kata Penolong Timbalan Peguam Negara, Lisa Miller. – AFP