Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Mesyuarat Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC EMM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Seattle, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Turut mengiringi pada sidang yang berlangsung 15 hingga 16 Ogos itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke AS, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali dan pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.
Menurut kenyataan Jabatan Tenaga di JPM, APEC EMM tahun ini, merupakan mesyuarat pertama dalam lapan tahun dengan membawa tema ‘Saling Berhubung. Inovatif. Inklusif’.
Ia bertujuan untuk mencapai objektif menyeluruh Wawasan APEC Putrajaya 2040 bagi Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan keamanan komuniti menjelang 2040, untuk kemakmuran semua rakyat dan generasi yang akan datang.
Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tenaga AS, Jennifer M Granholm, yang menyampaikan dialog meluas antara ekonomi APEC, industri swasta dan pihak berkepentingan yang lain mengenai strategi berkesan untuk mempercepatkan peralihan tenaga yang bersih, mampan dan inklusif melalui perbincangan dalam tiga sesi utama iaitu Sektor Penyahkarbonan Kuasa, Mitigasi Metana dan Peralihan Tenaga yang Adil.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi berpeluang bertukar-tukar pendapat pada Sesi Dekarbonisasi Sektor Kuasa yang menekankan usaha dan laluan Negara Brunei Darussalam dalam penyahkarbonan sektor tenaganya melalui tenaga yang boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga serta inisiatif pemuliharaan.
Beliau juga berkesempatan mengadakan sesi rangkaian dengan ketua perwakilan lain dari Ekonomi APEC termasuk Jennifer M Granholm; Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Arifin Tasrif; serta Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Industri Republik Singapura, TYT Dr Tan See Leng.
Program mesyuarat berkenaan juga termasuk aktiviti lawatan ke Syarikat First Mode yang merupakan syarikat teknologi tenaga bersih dan Pusat Geoterma di Kampus Microsoft yang berfungsi sebagai pusat kuasa bagi kampus berkenaan.