Thursday, January 9, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blue Ghost bakal lancar roket ke Bulan

    WASHINGTON, 8 JAN – Syarikat Firefly Aerospace dari Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan bahawa ia akan melancarkan kapal pendarat di Bulan minggu depan melalui program eksperimen NASA yang bekerjasama dengan sektor komersial untuk mengurangkan kos.

    Jika misi itu berjaya, ia akan menjadi kali kedua robot Amerika itu mendarat di permukaan Bulan sejak tamatnya era Apollo.

    “Bersiap sedia! Perjalanan kami ke Bulan dijadualkan bermula pada 1:11 pagi pada Rabu, 15 Januari, menggunakan roket Falcon 9 @SpaceX,” menurut kenyataan syarikat yang berpangkalan di Texas itu dalam satu hantaran di platform media sosial X.

    Kapal pendarat itu, dikenali sebagai Blue Ghost, mempunyai ketinggian dua meter dan lebar 3.5 meter.

    Ia akan menghantar peralatan untuk 10 projek penyelidikan sains dan demonstrasi teknologi ke Mons Latreille, sebuah kawasan gunung berapi yang terletak di Mare Crisium, di bahagian timur laut Bulan.

    Garis cahaya daripada roket Alpha Firefly Aerospace menerangi langit malam selepas pelancaran dari Pangkalan Angkasa Tentera Vandenberg seperti yang dilihat dari Alhambra, California pada 14 September 2023. – AFP

    Blue Ghost dijangka mengambil masa 45 hari untuk sampai ke Bulan, diikuti fasa operasi selama 14 hari di permukaan.

    Pada 2021, Firefly Aerospace dianugerahkan kontrak bernilai AS$93 juta di bawah inisiatif Perkhidmatan Muatan Bulan Komersial (CLPS) NASA.

    Program itu bertujuan untuk merekrut syarikat baharu dalam sektor angkasa lepas bagi menghantar muatan saintifik dan teknologi ke Bulan, dengan matlamat membangunkan ekonomi Bulan berasaskan sektor swasta.

    Program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha besar NASA untuk mengekalkan kehadiran yang berterusan di Bulan melalui program Artemis.

    Misi pertama CLPS, yang dikendalikan oleh syarikat Astrobotic dari Pennsylvania pada Januari 2024, bagaimanapun menemui kegagalan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda