Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Blue Origin lancar penerbangan angkasa ketiga

    AMERIKA SYARIKAT, 12 DIS – Syarikat milik Jeff Bezos Blue Origin melancarkan kru persendirian ketiga ke angkasa lepas semalam dan kembali ke bumi dengan selamat, kali ini termasuk anak perempuan angkasawan pertama AS.

    Kapal angkasa putih dengan muncung bulat itu berlepas ke langit biru di Texas Barat untuk perjalanan 11 minit ke sempadan angkasa lepas yang diiktiraf antarabangsa, 100 kilometer tinggi.

    Enam anggota kru bersorak gembira ketika mereka membuka tali pinggang untuk menikmati keadaan tanpa graviti sambil melihat keluar ke angkasa lepas menerusi tingkap kapal angkasa.

    “Saya tidak pernah melihat fenomena seperti ini,” kata seorang anggota kru ketika Blue Origin merakam penerbangan itu.

    Kapal itu pulang ke Bumi untuk pendaratan payung terjun di padang pasir, menghasilkan kepulan abu ketika ia mendarat.

    Bezos dan pegawai syarikat lain bergegas untuk menyambut anggota kru ketika mereka keluar dari kapal. Roket ‘booster’ kapal mendarat secara berasingan.

    “Kami mempunyai penerbangan yang menyeronokkan hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Blue Origin, Bob Smith dalam satu kenyataan.

    Laura Shepard-Churchley, dengan bapanya Alan Shepard menjadi warga Amerika pertama yang berkunjung ke angkasa lepas pada 1961, terbang sebagai tetamu Blue Origin.

    Roket syarikat itu dinamakan ‘New Shepard’ sempena menghormati angkasawan itu.

    Michael Strahan, personaliti TV bola sepak Hall of Fame AS juga menyertai penerbangan itu, sementara terdapat empat pelanggan berbayar: eksekutif industri angkasa Dylan Taylor, pelabur Evan Dick, pengasas Bess Ventures Lane Bess dan Cameron Bess. – AFP

    Laura Shepard Churchley, Michael Strahan, Dylan Taylor, Cameron Bess, Lane Bess dan Evan Dick bergambar di landas pendaratan selepas mereka berlepas ke angkasa lepas menaiki kapal New Shepard berhampiran Van Horn, Texas pada 11 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda