Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bolehkah memotong dahan pokok jiran yang menjalar ke pekarangan rumah kita dan memakan buahnya?

    Sambungan dari minggu lepas

    Contoh: Dahan pokok mangga jiran A melewati pagar lalu memasuki pekarangan rumah jiran B. Dalam hal ini;

    • jiran B boleh meminta jiran A menyingkirkan dahan pokok mangganya itu.

    • jiran B boleh mengalihkan dahan pokok mangga jiran A jika jiran A tidak menyingkirkannya dari pekarangan rumah jiran B.

    • jiran B boleh memotong dahan pokok mangga jiran A jika dahan pokok tersebut tidak lagi dapat dialihkan walaupun dengan tidak meminta izin daripada hakim atau pihak berkuasa yang berkenaan.

    MEMAKAN BUAH YANG MELEWATI PEKARANGAN RUMAH

    Seorang tidak boleh mengambil dan memakan buah daripada pokok-pokok buah milik orang lain termasuk milik jiran dengan tidak ada izin daripada pemiliknya.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada berfirman di dalam Surah al-Baqarah, ayat 188 yang tafsirnya:

    Foto Canva

    Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang bathil.
    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga pernah bersabda sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:

    Tidak halal sesuatu daripada harta saudaranya kecuali apa yang telah diberikannya dengan kerelaan hatinya.
    (Hadits riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

    Hatta buah daripada pokok-pokok buah milik keluarga atau sahabat sekalipun, tidak boleh dimakan jika masih merasa bimbang dan ragu sama ada dia mengizinkan ataupun sebaliknya. Jika merasa besar kemungkinan keluarga atau sahabat itu mengizinkan, maka boleh dimakan buah tersebut dengan kadar yang berkemungkinan diizinkan sahaja.

    Perkara yang demikian ini adalah berbeza mengikut keadaan, orang, harta dan masa.

    Walau bagaimanapun, apabila di dalam keadaan darurat, buah-buah daripada pokok milik orang lain adalah boleh dimakan dengan syarat hendaklah diganti balik.

    Mengenai dengan buah daripada pokok jiran pula kedudukannya adalah seperti berikut:

    a) Buah yang masih di dahan pokok

    Sebagaimana yang telah dijelaskan, tidak boleh diambil dan dimakan buah daripada pokok milik orang lain termasuk milik jiran kecuali dengan ada izin pemilik atau di dalam keadaan darurat.

    Berdasarkan ini, buah jiran yang masih di dahan pokok walaupun kedudukannya berada di pekarangan rumah kita juga tidak boleh diambil dan dimakan sesuka hati tanpa keizinannya.

    b) Buah yang telah jatuh daripada pokok

    Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah Ta‘ala ada dinyatakan bahawa haram bagi orang lain mengambil buah yang jatuh daripada pokok yang diberi pagar dan buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar tersebut. Jika mengikut kebiasaan setempat pemiliknya tidak memberi keizinan untuk mengambil buah daripada pokok yang tidak diberi pagar atau buah yang jatuh di luar pagar, maka hukumnya juga haram mengambil buah itu.

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala pula, hukum buah yang telah jatuh daripada pokok adalah mengikut hukum buah yang masih berada di atas pokok (milik tuan pokok) jika buah tersebut jatuh di dalam kawasan pagar atau sempadan. Begitu juga hukumnya jika buah tersebut jatuh di luar kawasan pagar atau sempadan dan kebiasaan penduduk setempat tidak mengizinkan orang lain mengambil dan memakan buah tersebut.

    Akan tetapi jika kebiasaan setempat itu mengizinkannya, maka pendapat yang ashah adalah dibolehkan mengambil dan memakan buah tersebut berdasarkan adat kebiasaan yang biasa berlaku serta adanya zhan atau sangkaan bahawa pemilik buah berkenaan mengizinkan orang lain untuk mengambil dan memakannya.

    Berdasarkan pendapat para ulama di atas, maka begitu juga kedudukan hukum buah jiran yang jatuh sama ada di dalam pekarangan rumah jiran atau di dalam pekarangan rumah kita.

    Contoh: Jiran A mempunyai pokok mangga;

    • jiran B tidak boleh mengambil dan memakan mangga jiran A yang masih berada di pohon sama ada di dalam pekarangan rumah jiran A ataupun yang melewati ke pekarangan rumah jiran B kecuali dengan keizinan daripada jiran A.

    • jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran A kecuali dengan keizinan daripada jiran A.

    • jiran B tidak boleh mengambil dan memakan buah mangga jiran A yang telah jatuh di dalam pekarangan rumah jiran B kecuali mengikut kebiasaan setempat pemilik mengizinkan buah tersebut diambil dan dimakan.

    Demikian beberapa penjelasan tentang permasalahan dahan dan buah milik jiran yang melewati sempadan. Kesimpulannya, kita tidak boleh memotong dahan dan memakan buah jiran yang memasuki pekarangan rumah kita dengan sesuka hati. Terdapat beberapa ketetapan yang telah dijelaskan oleh fuqaha’ dengan menurut kehendak syari‘at Islam kepada kita dalam permasalahan tersebut.

    Dalam kehidupan berjiran tetangga, adalah elok untuk menganggarkan jarak yang sesuai sebelum menanam apa juga pokok lebih-lebih lagi pokok yang menjalar dan bersaiz besar supaya pokok-pokok itu tidak memasuki pekarangan rumah jiran.

    Selain mengotori pekarangan rumah jiran, dahan dan ranting-ranting yang terjuntai dan bersepah di pekarangan rumah jiran itu boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesulitan terhadap jiran bahkan mendatangkan kerosakan, kerugian, kemudaratan dan kesakitan.

    Perlu diingat, perintah untuk berbuat baik terhadap jiran apatah lagi jiran yang dekat itu antaranya adalah dengan menjaga hak jiran, memelihara keselamatan jiran, memelihara pergaulan dan hubungan baik dengan jiran serta tidak menyakiti jiran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda