Monday, November 25, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bot pendatang ditenggelamkan penyeludup, 25 maut

    JOHANNESBURG, 5 NOV – Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, maut selepas bot mereka sengaja ditenggelamkan oleh penyeludup di perairan negara Lautan Hindi, Comoros, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), kelmarin.

    Bot berkenaan karam lewat malam Jumaat di antara pulau Comoros, Anjouan dan pulau Mayotte milik Perancis, laluan pendatang yang kerap digunakan dan meragut ribuan nyawa sepanjang tahun, kata IOM dalam satu kenyataan.

    Bagaimanapun, nelayan berjaya menyelamatkan lima orang pada pagi Sabtu. Mereka memaklumkan bahawa bot tersebut membawa kira-kira 30 penumpang pelbagai warganegara, termasuk tujuh wanita dan sekurang-kurangnya enam kanak-kanak kecil.

    “IOM Comoros berdukacita atas kematian sekurang-kurangnya 25 orang selepas bot mereka dengan sengaja ditenggelamkan oleh penyeludup di luar kepulauan Comoros, antara Anjouan dan Mayotte pada malam Jumaat,” menurut kenyataan tersebut.

    Anjouan, salah satu daripada tiga pulau yang membentuk negara Comoros yang miskin, terletak kira-kira 70 kilometer di barat laut Mayotte, diiktiraf sebagai wilayah Perancis pada tahun 2011.

    Walaupun Mayotte merupakan wilayah termiskin Perancis, infrastruktur dan kebajikan Perancis yang ada menjadikannya daya tarikan kepada pendatang dari Comoros yang mencari kehidupan lebih baik. Ramai pendatang sanggup membayar penyeludup untuk menyeberang laut yang bergelora menggunakan bot nelayan usang yang dikenali sebagai kwassa-kwassa.

    Hampir separuh daripada 900,000 penduduk Comoros hidup di bawah paras kemiskinan dan ramai tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan.

    Kenyataan IOM itu turut memetik laporan dari Senat Perancis yang menganggarkan antara 7,000 hingga 10,000 orang telah kehilangan nyawa ketika cuba menyeberang dari Comoros ke Mayotte antara 1995 hingga 2012, namun angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi. – AFP

    Beberapa buah bot kelihatan di Plage de Moya di selatan bandar Mutsamudu, ibu kota Anjouan di Kepulauan Comoros, tempat utama bagi para migran mendarat. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda