MANILA, 2 JAN – Dua orang disahkan maut selepas sebuah bot persendirian terbalik dan tenggelam di pantai wilayah Northern Samar di tengah Filipina, menurut Pengawal Pantai Filipina (PCG) hari ini.
Dalam satu laporan, PCG memaklumkan bahawa bot yang membawa enam penumpang dan dua kru itu tenggelam pada Isnin di luar pantai bandar Laoang.
Siasatan awal mendapati bahawa bot tersebut bertolak dari Laoang dan dalam perjalanan menuju Pulau Batag apabila kejadian berlaku.
“Bot tersebut terbalik selepas dilanda ombak besar di tengah keadaan laut yang bergelora,” kata laporan tersebut.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan empat penumpang dan dua kru, manakala dua lagi mayat ditemui di pesisir pantai bandar tersebut. – Xinhua