BEIJING, 4 DIS – Lapan orang dilaporkan maut selepas sebuah bot milik kerajaan yang ‘terlebih muatan’ terbalik di wilayah Guizhou, barat daya China, awal minggu ini, menurut pihak berkuasa China hari ini.
Lima orang mangsa berjaya diselamatkan dari tempat kejadian, yang berlaku pada Isnin di wilayah Guizhou, menurut kenyataan dalam talian oleh Kementerian Pengurusan Kecemasan Negara.
Bot tersebut dimiliki oleh kerajaan tempatan, menurut kenyataan itu, yang menyeru agar ‘tindakan serius diambil’ untuk memastikan pihak berkaitan bertanggungjawab atas kejadian itu.
“Bot tersebut menjalankan aktiviti membawa penumpang yang melanggar peraturan dan sarat dengan muatan,” kata kementerian itu.
Menurut laporan oleh Caixin, sebuah media China, bot itu digunakan untuk membawa penduduk kampung tempatan menyeberangi Sungai Pingzheng untuk mengumpul herba di seberang sungai.
Seorang saksi berhampiran lokasi kejadian memberitahu Caixin bahawa bot di sungai tersebut biasanya tidak membawa penumpang.
Kemalangan maut sering berlaku di China akibat peraturan yang kurang jelas dan penguatkuasaan yang lemah.
Pada bulan Ogos, satu insiden kemalangan perlombongan di wilayah Sichuan yang berjiran telah meragut lapan nyawa.
Pada bulan Mac, letupan gas di wilayah Hebei, utara China, mengorbankan tujuh orang dan mencederakan puluhan lagi.
Sementara itu, pada bulan Februari, kebakaran di sebuah bangunan kediaman di bandar Nanjing, timur China, mengorbankan 15 nyawa. – AFP