Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brazil tetap sokong Neymar

    SOCHI, 25 Jun – Bintang Brazil, Neymar mendapat sokongan daripada rakan sepasukannya Fagner selepas insiden dia menangis meraikan kemenangan Piala Dunia ke atas Costa Rica mendapat kecaman ramai pihak di negaranya.

    Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol kedua untuk merekod kemenangan 2-0 ke atas Costa Rica di Saint Petersburg pada Jumaat lalu sekali gus membolehkan skuad kendalian Tite semakin hampir melangkah ke pusingan kedua.

    “Tidak semua orang tahu apa yang saya lalui untuk berada di sini,” kata Neymar menerusi kenyataan di Instragram selepas perlawanan itu.

    “Tangisan saya ini adalah kegembiraan, kelegaan atas kesungguhan dan keinginan untuk menang. Dalam kehidupan saya tidak ada perkara mudah, jadi apa yang mereka mahu lakukan sekarang?”

    Namun Neymar mendapat kritikan atas sikapnya dalam perlawanan apabila dia menganggap menerima layanan teruk daripada pemain lawan serta menangis apabila tamat perlawanan.

    “Setiap pemain juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan berhak merasa kecewa,” kata Fagner yang ditemui di pusat latihan Brazil di Sochi.

    “Saya percaya satu pasukan memberi sokongan kepadanya. Dia pemain berpengalaman dan akan mengharungi situasi ini dengan baik untuk memastikan kejayaan pasukan.

    “Neymar berdepan tekanan hebat untuk mendapatkan keputusan meskipun baharu saja pulih daripada kecederaan sebelum Piala Dunia bermula.

    Penyerang Paris Saint-Germain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki pada Mac lalu dan hanya beraksi kembali ketika Brazil mengatasi Croatia 2-0 dalam aksi persahabatan tiga minggu lalu di mana dia masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda