Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Dato Paduka Haji Mustapha telah mewakili Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan ke-5 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 16 hingga 17 Januari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan bahawa mesyuarat-mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Thailand, Puan Yang Terutama Paetongtarn Shinawatra dan dipengersuikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Masyarakat dan Ekonomi Digital Thailand, Tuan Yang Terutama Prasert Jantararuangtong dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ADGMIN.
Di bawah tema Selamat, Inovatif, Inklusif: Membentuk Masa Depan Digital ASEAN, mesyuarat menumpukan kepada memupuk persekitaran digital yang selamat, memajukan teknologi baru dan memastikan akses saksama kepada teknologi di serata rantau.
Tiga tunggak asas iaitu sekuriti, inovasi dan inklusiviti menyediakan sebuah rangka kerja bagi negara-negara anggota ASEAN untuk memperoleh kemajuan kolektif dan kemakmuran mampan dalam zaman digital.
Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary mengongsi bahawa Brunei komited dalam memupuk sebuah budaya inovasi dan inklusif serta membina ekosistem digital yang mantap.
Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi berkenaan, tambahnya, bersama-sama dengan teknologi baru lain, harus dimanfaatkan bagi tujuan positif. Dengan perlindungan yang tepat dan keadaan yang membolehkan, AI sebagai contoh, ulas beliau lagi, dapat melaksanakan kerja dengan lebih cekap dan membuahkan lebih banyak hasil pembangunan dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, pertanian dan sekuriti makanan, tenaga, urus tadbir serta penyampaian perkhidmatan awam.
Penubuhan Kumpulan Kerja Etika dan Urustadbir AI serta enakmen Perintah Perlindungan Data Peribadi menggariskan tumpuan Brunei dalam membangun persekitaran digital yang beretika dan dipercayai.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga mengesahkan semula komitmen Brunei ke arah menjana sebuah persekitaran digital yang dipercayai dan selamat menerusi antara lain, enakmen Akta Sekuriti Siber, Perintah Perlindungan Data Peribadi dan penyertaan aktif negara dalam kolaborasi serantau seperti ASEAN Computer Emergency Response Team (CERT) dan inisiatif-inisiatif ASEAN Anti-Online Scam.
Sementara di bawah projek-projek ASEAN yang diterajui oleh Brunei, ASEAN GovStack Initiative berjaya dilaksanakan dengan kolaborasi bersama International Telecommunications Union (ITU) serta Menteri-menteri Digital ASEAN menyokong ASEAN Digital Government Interoperability Framework yang menjadi sebuah peta jalan strategik bagi negara-negara anggota ASEAN untuk menubuhkan dan meningkatkan saling hubungan serantau perkhidmatan kerajaan digital.
Di samping itu, projek Brunei di bawah pelan kerja 2025 iaitu ASEAN Adoption for Public Sector, adalah antara inisiatif utama yang akan memperkasa perniagaan dan pihak berkepentingan untuk mempercepatkan pertumbuhan perdagangan digital di serata ASEAN.
Di samping itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Penyelaras Amerika Syarikat bagi International Communications and Information Policy Bureau of Cyberspace and Digital Policy, Tuan Yang Terutama Duta Steve Lang dan Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung ITU, Puan Yang Terutama Sulyna Abdullah.
Perbincangan berkenaan menumpukan kepada pertukaran pandangan dan meneroka bidang-bidang kerjasama berpotensi khususnya dalam memajukan minat bersama dalam transformasi digital dan mengukuhkan hubungan dua hala.
Terdahulu sebelum Mesyuarat ADGMIN ke-5 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, ahli-ahli Pegawai Kanan Negara-negara Anggota ASEAN telah mengambl bahagian dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN Ke-5 (ADGSOM) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan pada 13 Januari hingga 15 Januari.
Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dalam kapasitinya sebagai Ketua ADGSOM Brunei.
Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Haji Jailani bin Haji Buntar bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan AITI.