Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Negara Brunei Darussalam mempunyai biodiversiti yang menarik dan unik yang belum banyak diterokai dan dikaji, terutama kepelbagaian spesies hutan yang jarang dijumpai di tempat-tempat lain.
Antara yang menarik untuk dikaji ialah inventori lichen atau kulampair yang merupakan organisma komposit mengandungi kulat dan alga yang hidup secara simbiosis serta banyak terdapat di negara ini dan belum diterokai, kata pengkaji program pertukaran Fullbright Scholar Amerika Syarikat (AS), Danielle Ward yang mengongsikan perkara itu bersama pengamal media dalam temu bual secara maya hari ini.
Ward yang sudah pun berada di negara ini lebih 10 bulan, menjalankan kajian spesies pokok besar di hutan hujan Brunei. Beliau yang bekerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) sudah pun menjalankan kajian mengukur lebih kurang 600 pokok secara terperinci bagi melihat corak umum kewujudan pokok yang terdapat di Hutan Simpan Andulau, Daerah Belait dan kawasan terbabit secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, beliau turut menjalankan projek kajian mengenai kulampair yang menurutnya banyak terdapat di sini dan belum diterokai. Beliau juga melahirkan rasa teruja kerana menjadi pengkaji pertama mengkaji kulampair di negara ini.
“Hutan hujan Brunei sungguh unik berbanding yang terdapat di negara lain di rantau ini kerana ia memiliki tahap biodiversiti pelbagai, masih belum diterokai dan belum dijumpai di mana-mana.
“Dengan kajian ke atas biodiversiti di negara ini, saya berharap dapat membantu Brunei mengumpulkan data saintifik sekali gus melindungi hutan Brunei, lebih-lebih lagi ketika dunia berhadapan perubahan iklim, populasi dan ekonomi,” tambahnya.
Menurut kenyataan diterima daripada kedutaan AS di sini, Program Fullbright telah menandakan ulang tahun ke-75 tahun ini. Program merupakan pertukaran akademik antarabangsa dengan matlamat meningkatkan persefahaman bersama dan menyokong hubungan mesra dan aman antara rakyat AS dan rakyat negara lain.
Ia beroperasi di 160 negara dan telah menghantar lebih 400,000 pelajar, sarjana, guru, artis, dan profesional dari semua latar belakang dan dalam semua bidang peluang untuk mengkaji, mengajar dan menjalankan penyelidikan, bertukar-tukar idea, dan menyumbang ke arah mencari penyelesaian terhadap cabaran global yang kompleks.
Pada sesi temu bual itu juga, perwakilan Kedutaan AS telah mengongsikan pelanjutan bagi permohonan menyertai Program Fullbright US-ASEAN Visiting Scholar kepada semua rakyat di negara ini yang berminat, sehingga 20 Disember.
