Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Brunei terima kuota 1,000 jemaah haji

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan KHEU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Negara Brunei Darussalam telah meneri-ma kuota seramai 1,000 orang jemaah bagi musim haji tahun 1444H/2023M, seperti mana kuota asal pada musim haji 1440H/2019M sebelum penularan wabak COVID-19.

    Jumlah kuota berkenan adalah hasil Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1444H/2023M dan penandatanganan perjanjian persefahaman.

    Mesyuarat telah diadakan secara dalam talian pada 27 Disember lalu dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman pula dihadiri oleh rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kesihatan yang telah bertolak ke Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah, dan seterusnya menandatangani Perjanjian Persefahaman Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1444H/2023M.

    Hasil mesyuarat dan penandatanganan perjanjian persefahaman tersebut juga berhasil mendapatkan jumlah pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan) seramai 35 orang.

    Selain itu, hasil perbincangan juga mendapatkan izin penerbangan membawa jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdul Aziz, Madinah Munawwarah dan bertolak balik dari Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan (kiri) semasa berada di Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah.
    Gambar ramai rombongan KHEU dan Kementerian Kesihatan semasa berada di Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah.

    Antara lain yang turut dibincangkan ialah tiada had umur ditetapkan bagi jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji bagi musim haji tahun 1444H/2023M.

    Setiap jemaah haji adalah dikehendaki untuk melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 di samping suntikan-suntikan lain yang lazimnya diambil sebelum berangkat ke Tanah Suci.

    Sementara itu, Jabatan Urusan Haji, KHEU telah merancang dan sedang giat membuat persiapan-persiapan lazim untuk penghantaran jemaah haji bagi musim haji tahun 1444H/2023M, antaranya tawaran untuk menunaikan ibadat haji kepada pemohon-pemohon yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini telah selesai dibuat.

    Pada masa ini, Jabatan Urusan Haji sedang giat berusaha untuk memenuhi kuota haji yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, manakala itu, pemeriksaan kesihatan bagi jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan mula dilaksanakan pada 24 Januari depan.

    Kursus Ibadat Haji pula akan diadakan bermula 27 Januari hingga 5 Mac, sebanyak 12 sesi pada setiap Jumaat dan Ahad di lapan buah pusat di keempat-empat daerah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...