Thursday, February 27, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budak 2 tahun maut akibat selesema burung

    PHNOM PENH, 26 FEB – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja, kata pegawai, menjadikannya kematian kedua negara di Asia Tenggara itu akibat virus tersebut tahun ini.

    Kanak-kanak itu dijangkiti virus semasa bermain berhampiran ayam-ayam sakit di rumahnya di wilayah Prey Veng di tenggara dan meninggal dunia kelmarin selepas mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas, menurut kenyataan kementerian kesihatan.

    Ujian mengesahkan bahawa dia telah dijangkiti strain H5N1 selesema burung, menurut kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin.

    Kanak-kanak itu ‘tidur dan bermain’ berhampiran kandang ayam di rumah keluarganya di mana kira-kira 15 ekor burung mati dan ada juga yang sakit, tambah kenyataan tersebut.

    Kementerian kesihatan memberi amaran bahawa selesema burung kekal sebagai ancaman di Kemboja dan berkata pegawai sedang menyiasat punca virus yang menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut.

    Seorang pekerja membawa ayam di pasar Phnom Penh pada 24 Februari 2023. – AFP

    Bulan lalu, seorang lelaki Kemboja berusia 28 tahun juga meninggal dunia akibat selesema burung selepas makan daging ayam yang dijangkiti.

    Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Julai lalu bahawa pengawasan yang tidak menyeluruh menghalang kemampuannya untuk menguruskan risiko kepada manusia yang disebabkan oleh strain H5N1 selesema burung.

    WHO menyeru semua negara untuk meningkatkan pengawasan dan pelaporan influenza dalam haiwan dan manusia, serta berkongsi sampel dan urutan genetik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda