MOSCOW, 19 APRIL – Seorang kanak-kanak perempuan 7 tahun maut ditembak dalam satu kejadian di sebuah restoran makanan segera di kejiranan Homan Square, Chicago, lapor agensi berita Sputnik.
Akhbar harian Chicago Sun-Times melaporkan, memetik polis Chicago, kejadian berlaku kira-kira 4:20 petang waktu tempatan semalam di kawasan tempat letak kereta pandu lalu McDonald’s di blok 3200 West Roosevelt Road.
Kanak-kanak malang itu dan bapanya berada di dalam kereta ketika dua orang keluar dari sebuah lagi kenderaan dan melepaskan tembakan.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Stroger dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kata polis. – Bernama