Saturday, January 18, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buku Tarsilah Brunei Jilid IV dilancar 19 Oktober

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Buku Tarsilah Brunei: Peralihan ke arah Brunei Moden (Tahun 1828-1924 Masihi), Jilid IV, akan dilancarkan pada 19 Oktober depan di Dewan Jawatan Dalam Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Buku yang dihasilkan Allahyaram Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat Dr Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri itu merupakan buku jilid ter-akhir, sebagai kesinambungan buku daripada Tarsilah Brunei, Jilid 1 (1990), jilid II (1997) dan jilid III (2019).

    Penerbitan buku Tarsilah Brunei, Jilid IV ini merupakan salah satu aktiviti utama PSB sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei tahun 2023, jelas Pengetua PSB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong pada sidang media di Bilik Musyawarah pusat berkenaan, hari ini.

    Beliau seterusnya menjelaskan, buku berkenaan meriwayatkan sejarah Sultan ‘Omar `Ali Saifuddin II (sultan Brunei ke-23), Sultan Abdul Momin (sultan Brunei ke-24), Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (sultan Brunei ke-25) dan Sultan Muhammad Jamalul `Alam II (sultan Brunei ke-26).

    “Buku ini merupakan sejarah yang menunjukkan gambaran kecemerlangan kesultanan Brunei yang telah dicapai oleh PSB pada 2023, iaitu kecemerlangan penulisan lengkap kesultanan Brunei untuk menjadi rujukan dan ristaan, dan menjadi panduan supaya diketahui oleh generasi muda, generasi yang menjadi pewaris bangsa Brunei supaya mereka tidak hilang identiti dan jati diri,” ujarnya.

    Penerbitan buku berkenaan adalah salah satu usaha PSB untuk menambah koleksi bahan rujukan dan bacaan sejarah Brunei terutama mengenai sejarah kesultanan Brunei dan sejarah susur galur keluarga diraja.

    Melalui penerbitan buku itu juga, tambah beliau, ia dihasratkan dapat menarik minat generasi belia untuk mengetahui dan mempelajari serta mengenang jasa sultan-sultan Brunei selaku ketua negara yang telah memberikan ‘corak’ dan ‘warna’ kepada Negara Brunei Darussalam agar identiti bangsa dan negara akan dapat terus dipelihara dan dipertahankan.

    Malah, ia dihasratkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi pewaris bangsa Brunei untuk meneruskan legasi seorang tokoh sejarawan negara dalam mengakas, membariga dan mendaulatkan sejarah kesultanan Brunei.

    Buku berkenaan juga akan dijual kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan yang mana pencetakan untuk buku kulit tebal sebanyak 50 naskhah manakala buku kulit nipis sebanyak 200 naskhah sahaja.

    Dr Haji Muhammad Hadi semasa sidang media bagi Majlis Pelancaran Buku Tarsilah Brunei: Peralihan Ke Arah Brunei Moden (Tahun 1828-1924 Masihi), Jilid IV di Dewan Jawatan Dalam PSB, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda