SOFIA, 27 OKT – Pengundi di Bulgaria keluar mengundi hari ini untuk memilih anggota Parlimen baharu buat kali ketujuh dalam tempoh tiga tahun setengah.
Pilihan raya itu diadakan susulan tiada parti berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya awal pada 9 Jun lalu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Tinjauan menunjukkan gabungan GERB-SDS yang pro-Barat dijangka muncul sebagai kuasa terkuat dalam pilihan raya hari ini.
Bagaimanapun, mereka berkemungkinan tidak memperoleh majoriti mutlak dan Parlimen Bulgaria dijangka kekal berpecah-belah.
Sekurang-kurangnya tujuh kuasa politik dijangka menganggotai Parlimen selepas pengundian hari ini.
Pembentukan gabungan diramal sukar seperti yang berlaku selepas pilihan raya sebelum ini. – Bernama